Federer tarik diri

Federer tarik diri

PARIS, 20 Mei (AFP) – Roger Federer menarik diri daripada Terbuka Perancis semalam selepas gagal untuk pulih daripada kecederaan belakang, sekali gus mengakhiri cabaran pemenang 17 kali gelaran Grand Slam itu.

Begitupun, pemain berusia 34 tahun yang kini berada di ranking ketiga dunia itu dan memiliki 88 gelaran sepanjang kariernya dengan hadiah menghampiri AS$100 juta itu menegaskan ia bukan pengakhiran buatnya.

“Saya kesal untuk mengumumkan saya membuat keputusan untuk tidak bertanding pada Terbuka Perancis,” kata juara di Roland Garros pada 2009 itu menerusi laman Facebook miliknya.

“Secara keseluruhan prestasi saya baik, tetapi ia masih tidak berada dalam keadaan 100 peratus dan saya rasakan ia adalah satu risiko sekiranya saya beraksi untuk kejohanan ini sebelum saya benar-benar bersedia.”

Federer menarik diri daripada Terbuka Perancis semalam selepas gagal untuk pulih daripada kecederaan belakang, sekali gus mengakhiri cabaran pemenang 17 kali gelaran Grand Slam itu. – AFP
Federer menarik diri daripada Terbuka Perancis semalam selepas gagal untuk pulih daripada kecederaan belakang, sekali gus mengakhiri cabaran pemenang 17 kali gelaran Grand Slam itu. – AFP

Bekas pemain nombor satu dunia itu yang dibelenggu kecederaan lutut dan belakang tahun ini, kali terakhir terlepas aksi Grand Slam pada 1999 apabila dia tidak menyertai Terbuka Amerika Syarikat (AS).”

Federer yang akan menyambut hari lahir ke-35 Ogos ini hanya bermain empat kejohanan tahun ini. Selepas tewas kepada Novak Djokovic pada separuh akhir Terbuka Australia, dia menjalani pembedahan lutut pada Februari – pembedahan pertama sepanjang kariernya.

Dia kemudian terlepas aksi di gelanggang keras Amerika Syarikat (AS) sebelum kembali beraksi di Monte Carlo Masters pada April.

“Keputusan ini bukan mudah, saya melakukannya bagi memastikan saya boleh beraksi untuk baki musim ini namun saya berharap dapat kembali ke Roland Garros pada 2017.”