Federer tetap unggul

INDIAN WELLS, 12 Mac – Pemain nombor satu dunia, Roger Federer mengetepikan Federico Delbonis dalam perlawanan yang terjejas akibat hujan yang turun untuk mara ke pusingan ketiga di Indian Wells ketika juara lima kali Novak Djokovic tersungkur.

Federer kembali ke gelanggang stadium pada petang semalam dan memerlukan satu jam untuk melengkapkan kemenangan pusingan keduanya 6-3, 7-6 (8/6).

“Ia sudah terlalu lama sejak saya terjejas pada waktu malam dan perlu kembali pada hari berikutnya,’ kata Federer.

Dia yang mempertahankan gelarannya bermula dengan hambar pada malam Sabtu lalu apabila perlawanan ditangguhkan disebabkan hujan yang turun dengan Federer menguasai set dan terikat pada kedudukan 2-2 pada set kedua.

Awan mula berarak sebelum bermula perlawanan Sabtu lalu dan selepas penangguhan seketika untuk memulakan set pertama, mereka mampu untuk beraksi sehingga keadaan awan menjadi hitam dan hujan lebat turun pada set kedua. Selepas penangguhan 90 minit, penganjur menggantungkan pertandingan pada waktu malam.

Gambar fail menunjukkan aksi Federer ketika bersaing menentang Steve Johnson pada kejohanan tenis Terbuka BNP Paribas di Indian Wells, California. – AP

Federer membuat kemunculannya yang ke-17 di gurun California dan memastikan kekal berada di kedudukan nombor satu dunia sekiranya dia mara ke separuh akhir.

Dia meneruskan kemenangan 2018 kepada 13 perlawanan berturut-turut dan hanya melepaskan tiga set dari 34 perlawanan tahun ini.

Federer mencatatkan lima aces dan memenangi 74 peratus dari mata servis pertamanya dalam perlawanan itu yang mengumpulkan purata satu jam dan 41 minit dalam tempoh dua hari perlawanan.

Dia akan menghadapi Filip Krajinovic pemain pilihan ke-25 pada pusingan ketiga.

Federer dan pemain pilihan ke-10, Djokovic muncul dalam perlawanan untuk memburu gelaran juara enam kali yang pertama bagi persaingan tersebut.

Tetapi Djokovic terjejas pada halangan pertama dengan kekalahan mengejut kepada pemain kelayakan dari Jepun, Taro Daniel, yang menewaskan pemain dari Serbia dengan kemenangan 7-6 (7/3), 4-6, 6-1.

Ia adalah satu lagi halangan dalam aksi kembali bagi pemain nombor 13 dunia, Djokovic, yang mengakui dia kekurangan langkah ketika hanya beraksi para perlawanan keduanya tahun ini dan yang pertama sejak menjalani pembedahan. – AFP