Federer tidak sabar mula latihan bersama jurulatih baru

Federer tidak sabar mula latihan bersama jurulatih baru

NEW DELHI, 14 Dis (AFP) – Pemain nombor tiga dunia Roger Federer berkata, dia tidak sabar untuk memulakan latihan bersama barisan kejurulatihan generasi baru selepas tidak lagi menggunakan khidmat jaguh era 80-an, Stefan Edberg.

Minggu lalu, Federer membuat pengumuman dia sudah merombak skuad kejurulatihan 2016 dengan idolanya, Edberg menamatkan khidmat selepas dua tahun bertugas sebagai penolong jurulatih buat juara Grand Slam sebanyak 17 kali itu.

“Pada mulanya kami mahu bersama selama setahun saja. Saya tidak percaya beliau (Edberg) bersetuju untuk bersama saya selama dua tahun,” kata Federer di New Delhi selepas mengambil bahagian dalam Liga Perdana Tenis Antarabangsa (IPTL). “Kami sudah bersama selama lebih 10 bulan dan ia akan berakhir hujung tahun ini.”

Federer berkata, pengganti Edberg, Ivan Ljubicic yang juga bekas pemain nombor tiga dunia, akan menawarkan pandangan serta corak latihan baru.

“Ini kali pertama saya mempunyai jurulatih yang pernah menentang pemain sama seperti yang pernah saya temui sebelum ini,” katanya.

“Jurulatih saya sebelum ini datang dari generasi berbeza. Saya yakin Ivan mampu membawa sesuatu yang menyeronokkan ke dalam pasukan termasuk menyuntik motivasi.”