Federer uji kemampuan di Rome Masters

Federer uji kemampuan di Rome Masters

ROME, 12 Mei (AFP) – Roger Federer menyertai bintang-bintang utama di Rome Masters, Novak Djokovic dan Andy Murray melangkah ke pusingan ketiga sekali pun mengakui dirinya menjangkakan kekalahan ketika bertemu Alexander Zverev di pusingan kedua, semalam.

“Saya bimbang namun amat gembira. Saya menjangkakan akan kalah dengan keputusan straight set hari ini,” kata pemenang 17 gelaran Grand Slam itu yang menarik diri daripada kejohanan Madrid Masters, minggu lalu akibat kecederaan belakang.

Perlawanan yang berlangsung selama 89 minit itu adalah yang pertama buat bekas pemain nombor satu dunia itu sejak tewas kepada Jo-Wilfried Tsonga di suku akhir kejohanan Monte Carlo, sebulan lalu.

Sekali pun berjaya melakar kemenangan, pemain berusia 34 tahun itu berkata dia tetap menunggu sehingga saat akhir sama ada akan turut bertemu pemain pilihan ke-13, Dominic Thiem pada pusingan ketiga nanti.

Aksi Federer dalam satu perlawanan di Kejohanan Terbuka Tenis di Foro Italico di Rome. Federer menyertai bintang-bintang utama di Rome Masters, Novak Djokovic dan Andy Murray untuk melangkah ke pusingan ketiga dalam kejohanan tersebut. – AFP
Aksi Federer dalam satu perlawanan di Kejohanan Terbuka Tenis di Foro Italico di Rome. Federer menyertai bintang-bintang utama di Rome Masters, Novak Djokovic dan Andy Murray untuk melangkah ke pusingan ketiga dalam kejohanan tersebut. – AFP

“Saya tidak tahu apa yang akan saya rasa esok. Saya berharap (boleh bermain). Saya sebenarnya sedang menjalani latihan demi latihan. Ia masih baru ketika ini,” kata pilihan ketiga kejohanan itu.

Rome adalah kejohanan keempat disertai Federer musim ini selepas mengharungi pembedahan lutut pada awal Februari lalu, pembedahan pertama sepanjang kariernya.

Pilihan utama, Djokovic dan kedua, Murray dalam pada itu tidak memerlukan drama untuk melakar kemenangan dengan jaguh Serbia itu menewaskan Stephane Robert 7-5, 7-5 manakala Murray menumbangkan Kazakh Mikhail Kukushkin 6-3, 6-3. Rafael Nadal juga meneruskan persembahan baik selepas menewaskan Philipp Kohlschreiber 6-3, 6-3.

ARTIKEL YANG SAMA