Federmobili jalin usaha bersama pengilang M’sia

Federmobili jalin usaha bersama pengilang M’sia

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) – Persekutuan Kedai-kedai Perabot Itali (Federmobili) berminat menjalin usaha sama dengan pereka dan pengilang industri perabot Malaysia.

Presidennya Mauro Mamoli berkata usaha sama itu bermatlamat membantu kedua-dua negara menghasilkan produk perabot reka bentuk Timur dan Barat yang menarik untuk pasaran perabot dunia.

“Program perintis, Program Pereka Profesional (PDP), sudah dilaksanakan, yang bakal menyaksikan kemunculan koleksi reka bentuk Eropah dan Malaysia pada Pameran Eksport Perabot Malaysia 2016 di sini bulan ini.

“Inilah contoh hebat, dan usaha sama selanjutnya boleh dilakukan oleh kedua-dua negara untuk menghasilkan perabot menarik untuk dunia,” katanya kepada Bernama hari ini pada Pameran Perabot Antarabangsa Malaysia (MIFF) 2016 yang berlangsung di sini dari 1 hingga 5 Mac.

PDP ialah inisiatif oleh Majlis Penggalakan Perabot Malaysia bagi membangunkan dan meningkatkan capaian dan skop antarabangsa bagi produk dan syarikat perabot Malaysia.

Mengenai prospek, Mamoli yakin Malaysia dan Itali dapat menembusi pasaran antara satu sama lain meskipun persekitaran ekonomi kini mencabar.

Beliau bagaimanapun berkata syarikat perabot Malaysia wajar mengambil maklum mengenai cita rasa dan kriteria Itali dari segi kualiti dan kemasan.

“Di Itali, bagi memenuhi standard tertinggi, kami biasanya memberi perkhidmatan kepada sekumpulan kecil pelanggan yang datang dari seluruh dunia menerusi bengkel pengeluaran kecil kami.

ARTIKEL YANG SAMA