Felcra di landasan yang betul

Felcra di landasan yang betul

SANDAKAN, 5 Mei – Felcra Berhad (Felcra) kini berada di landasan betul melaksanakan pelbagai usaha transformasinya, termasuk memperluas skop perniagaan bagi manfaat para pesertanya.

Pengerusinya, Datuk Bung Moktar Radin berkata ini termasuk menyaksikan perkembangan Felcra daripada berasaskan kelapa sawit dan getah kepada bidang hartanah dan perniagaan di luar negara.

“Saya yakin Felcra akan terus berada di landasan betul dan dapat memberi harapan kepada pesertanya seramai 350,000 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Felcra Berhad, Koperasi Sukau Kinabatangan Berhad (Kosuk) dan Winsome Harvest Palm Oil Mill Sdn Bhd bagi pembinaan sebuah kilang sawit di Sukau Kinabatangan, di sini, hari ini.

Bung Moktar yang juga Anggota Parlimen Kinabatangan berkata, antara usaha transformasi itu termasuk kerjasama Felcra dengan Kerajaan Negeri Sabah menerusi Lembaga Industri Getah Negeri Sabah bagi pembangunan tanah seluas 3,500 hektar untuk tanaman kelapa, pisang dan nanas di Pulau Banggi, Kudat.

Felcra yang berasaskan kelapa sawit dan getah. – AFP
Felcra yang berasaskan kelapa sawit dan getah. – AFP

“Ia akan menyediakan antara 2,000 hingga 3,000 peluang pekerjaan dan seterusnya dapat menjana ekonomi di pulau itu,” katanya.

Felcra juga, katanya, turut mengambil alih operasi sebuah kilang pemprosesan ayam di Johor yang menghasilkan 300,000 ekor ayam sehari dan meraih pendapatan sebanyak RM80 juta setahun.

Mengulas pelaburan dengan syarikat asing, Bung Moktar berkata Felcra akan bekerjasama dengan syarikat perabot terkemuka Sweden, IKEA bagi membekalkan kayu getah selain kolaborasi dengan sebuah syarikat pemperosesan ikan tuna dan sardin di Filipina.

Malah, Felcra akan membawa pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ke Filipina dalam masa terdekat ini bagi melancarkan usaha penghasilan produk tuna dan sardin halal oleh syarikat di negara jiran itu.