Felda D’saji sasar perolehan RM87 juta tahun ini

Felda D’saji sasar perolehan RM87 juta tahun ini

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) – Syarikat katering Felda D’Saji Sdn Bhd, anak syarikat Felda dan Koperasi Permodalan Felda menyasarkan perolehan sebanyak RM87 juta menjelang akhir tahun ini, dipacu oleh pembukaan dua dewan acara baharunya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Zaki Abdullah berkata, dua tempat tersebut ialah Dewan D’Mahligai di Kompleks Yayasan Jabal Nur (YJN), Bukit Jalil yang dilancarkan hari ini manakala satu lagi di Putrajaya yang dijangka dibuka pada April atau Mei depan.

“Dengan wujudnya venue baru ini, D’Saji menyasarkan perolehan tambahan sebanyak RM2 juta setahun.

“Pada tahun lepas kami mencapai jualan sebanyak RM70 juta dengan 11 lokasi Felda D’Saji dan saya yakin dengan penambahan dua lagi dewan, pendapatan kami dapat ditingkatkan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Dewan D’Mahligai berkenaan di sini, hari ini.

Dewan D’Mahligai itu mampu memuatkan seramai 400 orang pada satu masa dan ia merupakan tempat perkahwinan ke-12 yang diuruskan secara eksklusif oleh Felda D’Saji.

Pengerusi Yayasan Jabal Nur (YJN) Profesor Datuk Dr. Hamid Arshat (tiga, kiri) merenjis air mawar kepada pasangan pengantin sebagai gimik perasmian Dewan D’Mahligai pada Majlis Kerjasama antara YJN dan FELDA D’Saji. – Bernama
Pengerusi Yayasan Jabal Nur (YJN) Profesor Datuk Dr. Hamid Arshat (tiga, kiri) merenjis air mawar kepada pasangan pengantin sebagai gimik perasmian Dewan D’Mahligai pada Majlis Kerjasama antara YJN dan FELDA D’Saji. – Bernama

Beliau berkata, harga pengenalan pakej perkahwinan yang dilancarkan adalah bermula RM28 seorang.

Selain pakej perkahwinan, Dewan D’Mahligai juga boleh dimanfaatkan untuk pelancaran produk, seminar dan mesyuarat.

Menurut Ahmad Zaki, dewan berkenaan turut dilengkapi pelbagai kemudahan, termasuk tempat letak kereta percuma dengan pengawal keselamatan, bilik persalinan dan bilik menunggu VIP.

Katanya, Kompleks YJN juga mempunyai 80 bilik hotel untuk disewa bagi kemudahan tetamu.

“Adalah diharapkan penduduk sekitar Bukit Jalil, Sri Petaling serta Bandar Kinrara dapat memanfaatkan Dewan D’Mahligai untuk majlis perkahwinan yang meriah,” katanya.