Felda latih peneroka Gabon

Felda latih peneroka Gabon

KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) – OLAM Palm Gabon SA, syarikat yang berpangkalan di Gabon telah menghantar 54 peneroka Gabon untuk menjalani latihan selama empat bulan di tanah rancangan Felda di Trolak, Perak dan Tekam, Pahang.

Ia melibatkan latihan selama sebulan mengenai pengurusan ladang serta tiga bulan mengenai penanaman kelapa sawit dan dikendalikan Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), menurut Pengurus Pengajian Organisasi dan Pembangunan FGV, Saiful Nizam Yahaya.

FGV menjalan dan menyelaras latihan kepada peneroka terbabit sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporatnya, katanya kepada Bernama selepas meraikan kedatangan warga Gabon terbabit di Felda Residence Trolak, Sungkai dekat sini, baru-baru ini.

Gabon yang mempunyai keluasan 270,000 kilometer persegi, terletak di pantai Atlantik di barat Afrika Tengah. Ia mempunyai 1.5 juta penduduk dan mula terbabit dalam penanaman kelapa sawit sejak beberapa tahun lalu.

Kerajaan Gabon sedang membangunkan industri minyak sawit dengan kerjasama OLAM International Ltd melalui skim GRAINE.

Bermodelkan rancangan Felda, GRAINE merancang menjadikan penduduk kampung sebagai petani yang berdikari, di samping mewujudkan ekonomi pertanian yang seimbang dan memenuhi keperluan jaminan makanan Gabon serta rantau Afrika.

Selepas peneroka Gabon itu menamatkan latihan mereka, kerajaan negara itu akan memberi tanah kepada mereka untuk diusahakan.

Kajian menunjukkan industri minyak sawit mewujudkan banyak peluang pekerjaan dan ia penting bagi meningkatkan infrastruktur dan perkhidmatan sosial serta mengurangkan kadar kemiskinan.

Berikutan itu banyak negara membangun menceburi industri itu untuk meningkatkan ekonomi serta taraf hidup rakyat mereka.

ARTIKEL YANG SAMA