Felda United ranapkan impian JDT

Felda United ranapkan impian JDT

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) – Felda United meranapkan impian Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk merangkul kejuaraan ketiga selepas menjuarai Piala AFC dan Liga Super, apabila menyingkirkan pasukan pilihan dalam kempen Piala Malaysia itu dengan keputusan agregat 3-2.

JDT tersingkir selepas kalah mengejut 1-2 dalam perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia kepada Felda United di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam kelmarin yang turut meleburkan rekod tanpa kalah JDT di laman sendiri sejak 2013.

Untuk rekod, kedua-dua pasukan seri 1-1 pada suku akhir pertama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selasa lepas.

Pada aksi di Larkin, pemain import dari Liberia, Zah Rahan Krangar muncul wira skuad ‘The Fighters’ setelah beliau meledak gol kemenangan pada minit ke-76.

Terdahulu, kedua-dua pasukan seri 1-1 dengan Felda United membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Thiago Augusto Fernandes seawal minit keempat perlawanan sebelum Kapten JDT, Safiq Rahim menyamakan kedudukan untuk skuad Harimau Selatan pada minit ke-49.

Sementara itu juara bertahan, Pahang turut mara ke separuh akhir kempen Piala Malaysia selain daripada Felda United, Kedah dan juara 32 kali Piala Malaysia, Selangor selepas berakhirnya perlawanan suku akhir kedua, malam ini.

Pada aksi di Stadium Jalan Besar, Singapura, pasukan tuan rumah, Lions XII menang 2-0 ke atas Pahang namun gagal menghalang kemaraan skuad Tok Gajah ke peringkat separuh akhir menerusi kekalahan agregat 3-4.

Pahang sebelum ini mencatat kemenangan selesa 4-1 ke atas skuad kendalian Fandi Ahmad itu pada suku akhir pertama di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Selasa lepas.

Dua gol pasukan Seberang Tambak itu pada aksi malam kelmarin dijaringkan oleh Christopher Van Huizen pada minit ke-11 dan pemain terbaik perlawanan, Muhammad Faris Ramli pada minit ke-19.

ARTIKEL YANG SAMA