Felix cipta sejarah kejohanan olahraga

Felix cipta sejarah kejohanan olahraga

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Ogos – Felix Lo Jian Kae dari Sekolah Menengah (SM) Chung Hua Kuala Belait hari ini mencipta sejarah Kejohanan Olahraga Sekolah-Sekolah Menengah dan Maktab-Maktab Negara Brunei Darussalam tahun 2016 apabila memecah rekod kejohanan bagi acara Lempar Cakera Lelaki B.

Felix yang meraih emas dalam acara itu berjaya melempar cakera sejauh 31.98 meter, sekaligus memecahkan rekod yang dipegang oleh Aang Ho Lee dari Sekolah Sukan iaitu 30.45 meter.

Dalam acara yang sama bagi Kategori Lelaki C pula menyaksikan kejayaan daripada peserta SM Tanjung Maya. Manakala SM Chung Hwa BSB pula mengungguli acara Rejam Lembing B.

Sementara Maktab Anthony Abel pula menjuarai Rejam Lembing Lelaki C apabila berjaya menewaskan peserta SM Raja Isteri Pengiran Anak Saleha. Lontar Peluru Lelaki B hari ini menyaksikan peserta SM Chung Hua Kuala Belait tampil juara dalam acara berkenaan.

SM Chung Hwa BSB pula menewaskan peserta dari SM PIHM Serasa yang terpaksa menerima kekalahan di tempat kedua bagi acara Lontar Peluru Lelaki C.

Antara peserta yang memenangi pingat dalam acara yang dipertandingkan kelmarin. - Gambar Khairil Hassan
Antara peserta yang memenangi pingat dalam acara yang dipertandingkan kelmarin. – Gambar Khairil Hassan

Lagi acara padang adalah Lompat Jauh Lelaki B yang dijuarai oleh peserta SM Sayyidina Abu Bakar. Sekolah Sukan pula menggungguli acara Lompat Jauh Lelaki C. Dalam acara Lompat Kijang, SM Chung Hwa BSB mencatatkan kemenangan apabila berjaya menewaskan pelompat SM Chung Hua Kuala Belait. Sementara itu dalam acara yang sama Kategori Lelaki C pula diungguli oleh peserta SM Chung Hwa BSB.

Dalam acara balapan pula menyaksikan peserta SM Tanjung Maya meraih emas dalam acara Larian 1,500 Meter Lelaki B. Kemudian Sekolah Sukan pula memenangi acara yang sama bagi Kategori Lelaki C.

Bagi acara Larian 5,000 Meter Lelaki C pula diungguli oleh pelari Maktab Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, yang berjaya menumpaskan peserta dari Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah.

ARTIKEL YANG SAMA