Fellaini, Huth digantung tiga perlawanan

Fellaini, Huth digantung tiga perlawanan

LONDON, 6 Mei (AFP) – Pemain Manchester United, Marouane Fellaini dan pertahanan Leicester, Robert Huth masing-masing dijatuhkan hukuman penggantungan tiga perlawanan atas kelakuan ganas, umum Persatuan Bola Sepak Inggeris (FA), hari ini.

Kedua-dua pemain itu didakwa susulan insiden kekasaran yang berlaku ketika pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL) minggu lalu yang berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Kamera televisyen merakamkan pertahanan tengah Leicester, Huth menarik rambut Fellaini sebelum pemain tengah United itu membalasnya dengan menyiku leher pertahanan kelahiran Jerman itu.

FA dalam satu kenyataan berkata: “Kedua-dua pemain menerima tuduhan itu, begitupun Huth (berkata) penalti penggantungan tiga perlawanan itu ‘jelas berlebihan.’

Huth dan Fellaini dijatuhkan hukuman penggantungan tiga perlawanan selepas melakukan kekerasan ketika pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL) minggu lalu. – AFP
Huth dan Fellaini dijatuhkan hukuman penggantungan tiga perlawanan selepas melakukan kekerasan ketika pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL) minggu lalu. – AFP

“Dakwaan itu begitupun ditolak ketika sesi pendengaran oleh Suruhanjaya Peraturan Bebas hari ini.”

Insiden itu tidak dapat dilihat oleh pegawai rasmi perlawanan di Old Trafford namun panel yang terdiri daripada bekas pengadil bersetuju kedua-dua kesalahan yang dibuat adalah setanding kad merah.

Huth akan terlepas perlawanan Leicester di laman sendiri menentang Everton, Sabtu ini ketika kelab itu menerima trofi kejuaraan serta perlawanan penutup menentang Chelsea dan perlawanan pembukaan, musim depan.

Fellaini dalam pada itu akan terlepas ketiga-tiga perlawanan terakhir United musim ini, namun tetap akan beraksi pada final Piala FA menentang Crystal Palace.