Fenomena Ayunan Madden-Julian

Fenomena Ayunan Madden-Julian

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) – Keadaan hujan berlebihan yang dialami sejak kebelakangan ini khususnya di Lembah Klang adalah disebabkan oleh kesan fenomena Ayunan Madden-Julian (MJO), kata pakar.

Pakar Klimatologi dan Oseanografi Universiti Kebang-saan Malaysia (UKM) Prof Dr Fredolin Tangang berkata negara kini berada dalam musim Monsun Barat Daya dan sepatutnya cuaca sepanjang bulan ini adalah panas dan kering.

“Fenomena MJO adalah sebahagian daripada keragaman iklim antara musim di kawasan tropika yang berayun dengan kekerapan sekali dalam 20 hingga 60 hari yang berlaku dalam lapan fasa.

“MJO berlaku akibat interaksi lautan dan atmosfera menyebabkan kemunculan sistem perolakan atmosfera berskala besar di bahagian barat Lautan Hindi yang bergerak ke timur Lautan Pasifik merentasi kawasan Malaysia dan Indonesia,” katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung keadaan hujan berlebihan yang dialami kawasan sekitar Lembah Klang pada lewat petang termasuk fenomena ribut petir luar biasa.

Dalam pada itu, Fredolin berkata melalui kajian yang dilakukan, musim Monsun Barat Daya antara bulan Jun hingga Ogos akan meningkatkan curahan hujan di kawasan pantai barat Semenanjung berbanding di kawasan pantai timur.

Beliau berkata berdasarkan laporan Pusat Ramalan Iklim Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) Amerika Syarikat, MJO muncul di Lautan Hindi dengan peningkatan perolakan atmosfera berskala besar pada minggu pertama bulan ini dan kini berada dalam Fasa 3.