Fenomena gerakan anti-globalisasi topik mesyuarat menteri APEC

Fenomena gerakan anti-globalisasi topik mesyuarat menteri APEC

LIMA, Peru, 18 Nov – Gerakan anti-Globalisasi menjadi topic dominan perbincangan pada persidangan Menteri-menteri Perdagangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di sini pada Khamis, yang turut disertai Malaysia.

Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang mewakili Malaysia pada persidangan selama dua hari itu, berkata ramai menteri perdagangan yang hadir menyentuh mengenai senario anti-Globalisasi itu.

“Kami, sebagai menteri perdagangan yang tahu betapa besarnya peranan perdagangan bebas dalam mengerakkan pertumbuhan ekonomi dunia, merasakan ia (gerakan anti-Globalisasi) perkara yang perlu diberi perhatian,” katanya.

Mustapa berkata demikian kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan persidangan APEC dan lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Peru untuk APEC pada Khamis.

Datuk Seri Mustapa Mohamed ketika sidang media sempena Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasific (APEC) yang akan berlangsung selama dua hari mulai esok (Sabtu). - Bernama
Datuk Seri Mustapa Mohamed ketika sidang media sempena Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasific (APEC) yang akan berlangsung selama dua hari mulai esok (Sabtu). – Bernama

Fenomena baru gerakan anti-Globalisasi itu dimanifestasikan berikutan referendum Brexit di United Kingdom dan kemenangan Presiden Amerika Syarikat yang baharu Donald Trumph, katanya. Mengakui globalisasi mempunyai kelemahan, dan mungkin terdapat segelintir pihak yang terjejas, namun proses globalisasi juga membawa kebaikan, katanya.

“Bukan semuanya sempurna,” katanya. Beliau memberikan contoh kebaikan globalisasi iaitu apabila perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kini sudah mampu memasuki rangkaian global hasil proses globalisasi. Mustapa berkata negara anggota APEC perlu melaksanakan dasar domestik yang lebih inklusif dan perubahan struktur bagi memastikan globalisasi tidak meminggirkan mana-mana segmen masyarakat.

Pihak sekretariat APEC juga perlu mempunyai pelan komunikasi untuk menceritakan keadaan  sebenar globalisasi, termasuk kebaikannya, katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA