Fenomena laut pasang melanda Indonesia

Fenomena laut pasang melanda Indonesia

JAKARTA, 10 Jun – Kawasan pantai di selatan Jawa kini dilanda fenomena laut pasang dengan ombak tinggi yang menerjah kawasan pantai di beberapa buah wilayah termasuk di Jakarta.

Fenomena itu juga mengakibatkan beberapa buah daerah termasuk kawasan Jakarta Utara dilanda banjir air laut atau banjir rob sejak tiga hari lepas.

Portal-portal media dalam talian tempatan memetik kenyataan Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) bahawa sebanyak 24 daerah dan kota dilaporkan dilanda banjir rob dan ombak laut sehingga setinggi enam meter.

Ketua Pusat Data dan Informasi BNPB Sutopo Purwo Nugroho dipetik sebagai berkata, antara daerah yang mengalami banjir rob akibat gelombang pasang itu ialah bahagian pantai Jakarta, Kulon Progo, Gunung Kidul, Bantul, Tasikmalaya, Pangandaran, Cilacap dan Pekalongan.

Selain itu kawasan yang dilaporkan turut terkena bencana banjir rob itu juga ialah Purworejo, Wonogiri, Semarang, Pacitan, Banyuwangi, Jember, Trenggalek, Malang, Tulungagung, Lumajang, Gresik, Tuban, Surabaya, Pemekasan dan Probolinggo.

Fenomena ombak tinggi dan laut pasang itu dijangka berterusan sepanjang bulan Jun ini.

Menurut data BNPB, wilayah yang mengalami kerosakan teruk akibat ombak besar itu ialah pesisir laut selatan Jawa dan setakat ini lebih 1,000 orang telah dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat manakala kira-kira 6,000 buah rumah telah dimasuki air banjir rob.

Sutopo berkata, selatan Jogjakarta adalah daerah yang paling teruk dilanda ombak tinggi sehingga kawasan pantai yang popular iaitu di pantai Gunung Kidul kini tidak selamat untuk dikunjungi.

“Di Bantul, kerosakan meliputi 30 warung dan perahu. Tidak ada korban jiwa dalam kejadian tersebut dan kerugian dianggarkan ratusan juta rupiah,” katanya.

Gelombang setinggi hingga enam meter itu juga turut melanda wilayah Nusa Tenggara Barat (NTB) dan beberapa kawasan di seluruh wilayah bahagian barat dan tengah Indonesia serta perairan di pulau Flores.

Pelancong yang ingin mengunjungi kawasan pantai dinasihati supaya sentiasa mendapatkan maklumat terkini menerusi laman web dibi.bnpb.go.id. – Bernama