Ferdinand: Harga Kane, Sterling mengarut

Ferdinand: Harga Kane, Sterling mengarut

MANCHESTER, 22 Jun (Agensi) – Manchester City dan Manchester United masing-masing dikatakan bersiap menyediakan dana sebanyak 40 juta pound bagi mendapatkan pemain sasaran mereka, Harry Kane dan Raheem Sterling pada jendela perpindahan musim panas ini.

Bagaimanapun, bekas pemain pertahanan United, Rio Ferdinand melabelkan harga yang ditetapkan untuk Kane dan Sterling tidak masuk akal sambil menegaskan pembelian pemain luar lebih menguntungkan.

Kelmarin laporan mendedahkan, City bersedia membayar 45 juta pound bagi mendapatkan pemain sayap lincah Liverpool, Sterling selepas tawaran 35 juta pound dan 40 juta pound ditolak oleh The Reds.

Sementara itu, Kane yang cemerlang bersama Tottenham Hotspur dengan menjaringkan 31 gol pada musim lepas mendapat perhatian United dan pasukan kendalian Louis van Gaal itu dikatakan sedia menawarkan pakej bernilai 50 juta pound bagi mendapatkan khidmatnya.

Ferdinand percaya masa depan kedua-dua pemain itu amat cerah, namun bekas pemain berusia 36 tahun itu merasakan nilai serta kualiti pemain luar dari England lebih bagus.

“Harga pemain Inggeris sangat melampau sekarang. Ia tidak masuk akal, Kane dan Sterling mempunyai masa depan yang cerah tapi dengan harga 40 juta dan 50 juta pound? Aguero dan Sanchez hanya bernilai 38 dan 32 juta pound,” ujar Ferdinand melalui laman Twitter.