Feri karam di Myanmar, 25 maut

Feri karam di Myanmar, 25 maut

YANGON, 17 Okt – Para penyelamat telah menemukan 25 mayat dan menjangka akan menemui banyak lagi selepas sebuah feri yang membawa para guru, pelajar dan pekerja karam di tengah Myanmar, menurut pihak berkuasa setempat hari ini.

Sejumlah 154 orang berjaya diselamatkan sejak feri itu karam awal pagi Sabtu kira-kira 72 kilometer utara bandar Monywa. Pasukan mencari yang telah melancarkan usaha mencari di Sungai Chindwin telah mengesan feri yang karam itu, tetapi bimbang angka kematian mungkin meningkat sehingga 100 orang.

“Setakat ini kami telah menemui 25 mayat dari sungai, tetapi kami masih perlu mengenal pasti mereka,” pengarah jabatan bantuan dan penempatan tempatan, Sa Willy Frient memberitahu AFP.

Dia menganggarkan feri itu membawa 240-250 orang, kira-kira lebih 100 dari muatan kemampuannya. Monywa terletak kira-kira 100 kilometer dari Mandalay, bandar kedua terbesar Myanmar.

Kemalangan bot adalah lumrah di Myanmar yang mana penduduk tinggal di sepanjang garisan pantai panjang negara itu dan sistem air yang cenderung banjir begitu bergantung pada feri yang tidak diselenggara dengan baik dan kerap membuat lebih muatan, bagi pengangkutan mereka.

Empat kakitangan feri itu telah diberkas dan akan menghadapi tindakan undang-undang, menurut Sa Willy Frient. Pihak berkuasa masih memburu seorang anggota kru dan pemilik feri itu. – AFP