Ferrari akan kembali jadi ancaman

Ferrari akan kembali jadi ancaman

LONDON, 28 Dis – Bos Mercedes AMG PETRONAS, Toto Wolff tidak menolak Ferrari sudah memulakan langkah bagi menghadapi saingan Formula Satu (F1) 2016, namun optimis pasukannya mampu mengekalkan kelebihan.

Wolff berkata dia ‘amat berpuashati’ dengan kemajuan di kem pasukan Mercedes ketika juara dunia 2014 dan 2015 itu dilihat akan meneruskan dominasi pada 2016.

Bersama dua pemandu, Lewis Hamilton yang juga juara dunia 2015 dan Nico Rosberg, pasukan yang berpangkalan di London, England itu memenangi 16 daripada 19 perlumbaan yang ditawarkan pada tahun ini.

Bagaimanapun, di sebalik segala pembaikan yang dilakukan Mercedes, Wolff tetap bimbang pasukan gergasi Itali itu mampu menjana kemajuan yang menakjubkan ketika rehat musim sejuk ini dan membawanya kepada musim 2016.

“Ferrari sudah membuat langkah yang besar dari 2014 dan berdasarkan keputusan, saya fikir ia mampu menjadi kes bagi 2016,” kata Wolff. “Kami mengambil persaingan dan ancaman daripada Ferrari dengan serius.

Toto Wolff ketika mengendalikan pasukannya dalam perlumbaan di litar. - Reuters
Toto Wolff ketika mengendalikan pasukannya dalam perlumbaan di litar. – Reuters

“Persaingan adalah bagus dan baik untuk F1 untuk kekal berada di hadapan. Ferrari adalah kawan dan musuh terbaik kami,” katanya.

Kata Wolff, sekalipun bimbang dengan ancaman Ferrari, Mercedes diakui memiliki kelebihan bersandarkan kedudukan ketika ini dan menambah dia gembira dengan apa yang dilihat ketika ini.

“Saya sentiasa berfikir yang (Ferrari mampu mencabar),” katanya.

“Saya memikirkannya tahun lalu, saya juga memikirkannya sehari sebelum itu dan kami memiliki banyak alasan untuk merasa ragu, jadi kami perlu melakukan yang terbaik ketika musim sejuk ini,” katanya. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA