Ferrari masih pencabar utama – Wolff

Ferrari masih pencabar utama – Wolff

BARCELONA, 11 Mei (Agensi) – Ketua pasukan Mercedes AMG PETRONAS, Toto Wolff tetap percaya Ferrari mampu menjadi pencabar kejuaraan Formula Satu (F1) musim ini di sebalik kurangnya persaingan daripada gergasi Itali itu musim ini.

Selain daripada perlumbaan pembukaan di Grand Prix Australia yang menyaksikan Sebastian Vettel mendahului sebahagian besar perlumbaan, Ferrari selepas itu gagal menandingi kepantasan, strategi dan ketahanan yang dijana jentera Mercedes.

Ia menyaksikan pasukan itu ketinggalan 81 mata dalam kedudukan pengeluar dengan satu-satunya perlumbaan yang menyaksikan kedua-dua pelumba pulang dengan mata adalah di China.

Ketika Ferrari terus bergelut ketika perlumbaan di Russia di mana Mercedes menamatkan perlumbaan dengan kemenangan 1-2, Wolff berkata kemenangan meyakinkan itu disebabkan reka bentuk Litar Autodrom Sochi.

“Litar itu amat berbeza, mempunyai permukaan yang amat licin, dan kami boleh melihat kelajuan kebanyakan pasukan lain amat berbeza daripada sebelum ini, Williams amat kuat, Red Bull langsung tidak kuat dan Ferrari tidak sekuat yang dijangka.

“Ia adalah litar yang tertentu di mana kami akan mendapat kelebihan dari sudut cengkaman mekanikal dan aerodinamik, kekuatan enjin jadi saya berkata kejatuhan prestasi daripada Ferrari adalah disebabkan Sochi.

“Apapun, saya tidak melihat data mereka jadi saya juga tidak tahu apa yang sebenarnya,” katanya. Justeru, Wolff menegaskan Mercedes akan terus mencari lebih prestasi daripada jentera mereka bagi membolehkan ia dikerah sehingga penghujungnya.

“Lebih banyak peraturan menjadikan ia lebih sukar untuk kamu mencari prestasi,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA