Ferrari naik taraf jentera menjelang GP Montreal

Ferrari naik taraf jentera menjelang GP Montreal

MONTREAL, 10 Jun – Ferrari tidak menjangkakan keajaiban akan berlaku selepas peningkatan prestasi terhadap unit kuasa yang dinaiki taraf pada minggu ini, kata pelumbanya, Kimi Raikkonen, semalam.

Pasukan berpangkalan di Itali itu yang masih belum mencatat sebarang kemenangan tahun ini dijadualkan memperkenalkan perubahan terhadap unit turbo dan kompresor pada jentera mereka di Grand Prix (GP) Kanada.

“Ini adalah langkah ke depan, namun betapa banyak hanya masa yang akan menentukannya,” kata Raikkonen.

“Ini adalah perkakasan baru dan kami tidak pernah menggunakan perkakasan baru pada jentera jika kami tidak fikir ia akan menampilkan peningkatan.

“Namun apa jenis langkahnya? Saya tidak menjangkakan keajaiban. Ia adalah arah yang betul, ia adalah sesuatu yang kami tunggu untuk memilikinya.

Ferrari menaik taraf sistem turbo dan kompresornya agar dapat bersaing dengan jentera pasukan lain. – AP
Ferrari menaik taraf sistem turbo dan kompresornya agar dapat bersaing dengan jentera pasukan lain. – AP

“Ia sama seperti sebarang perkakasan baru yang kami bawa masuk. Ia bukannya sesuatu yang magis serta-merta. Ia adalah perkara biasa dalam kemajuan kerja bagi kami sebagai pasukan dan ia adalah arah yang betul setiap kali.”

Pelumba kelahiran Finland itu kemudian berkata pasukannya sedang bekerja keras untuk melakukan peningkatan di keseluruhan jentera.

“Kami bekerja keras terhadap kelemahan kami dan kami sentiasa melihat untuk mendapat keputusan yang baik dan kemenangan.

“Jadi setakat ini ia adalah permulaan yang rumit pada tahun ini namun kami juga memiliki kelebihan dan kekurangan di sini.”

Rakan sepasukannya yang juga juara dunia empat kali, Sebastian Vettel dari Jerman berkata dia tidak mempunyai sebarang bantahan jika pasukan itu ingin mendapatkan Daniel Ricciardo sebagai pengganti Raikkonen di masa depan.

Pelumba kelahiran Australia itu ketika ini kuat dikaitkan dengan perpindahan ke Ferrari dari Red Bull.

“Saya berlumba dengannya pada 2014 dan kami tidak mempunyai sebarang masalah,” kata pelumba kelahiran Jerman itu. “Saya mengenalinya sebelum ini. Saya tidak kisah. Saya menyukainya. – AFP