Ferrari semakin pantas – Rosberg

Ferrari semakin pantas – Rosberg

LONDON, 5 April (Reuters) – Ferrari semakin hampir dengan Mercedes berbanding apa yang dipaparkan dalam keputusan dua perlumbaan musim ini dan tampak akan memberikan cabaran sebenar, kata pendahulu kejuaraan dunia Formula Satu (F1), Nico Rosberg.

Pemandu Jerman itu yang sudah mengumpul mata maksimum 50 selepas menang di Australia dan Bahrain, memberitahu wartawan dia tidak bermimpi mengenai cabaran yang bakal dihadapinya.

“Kami sedar Ferrari sangat hampir, kami melihatnya pada sesi kelayakan dan kami perlu terus memberi tekanan,” kata pemandu Mercedes itu. “Mereka masih belum menunjukkan apa yang mampu dilakukan dalam dua perlumbaan awal ini.

“Mereka melalui terlalu banyak kejadian tidak diingini yang memberi kesan kepada mereka jadi kami masih belum melihat Ferrari sebenar. Kami perlu berhati-hati, mereka sedang mengejar kami dengan kuat.”

Rosberg meraikan kejayaannya mengungguli Litar Bahrain, kelmarin. – Reuters
Rosberg meraikan kejayaannya mengungguli Litar Bahrain, kelmarin. – Reuters

Ketika Mercedes sudah menang lapan perlumbaan terakhir, dan Rosberg mengumpul lima daripadanya, ada bukti menunjukkan Ferrari semakin mengurangkan jurang itu dan boleh menang di Australia dan Bahrain.

Di Melbourne, Sebastian Vettel dan Kimi Raikkonen mengatasi Rosberg dan juara dunia tiga kali yang juga rakan sepasukan, Lewis Hamilton pada permulaan dan berpotensi memiliki strategi kemenangan sehingga perlumbaan dihentikan selepas kemalangan membabitkan Fernando Alonso.

Vettel menamatkan perlumbaan di tangga ketiga selepas penggunaan strategi tayar yang berkesan manakala Raikkonen menamatkan saingan selepas api keluar dari kotak angin jenteranya dalam apa yang dilihat sebagai kegagalan turbo. Di Bahrain, juara dunia empat kali, Vettel bermula di petak ketiga tetapi menamatkan saingan lebih awal sebelum perlumbaan kerana kegagalan unit kuasa.