Ferrari silap strategi

Ferrari silap strategi

MONTREAL, 13 Jun (Agensi) – Pemandu Ferrari, Sebastian Vettel enggan menyalahkan pasukannya di atas kesilapan strategi yang menyaksikan juara dunia empat kali itu terlepas peluang untuk meraih gelaran pertamanya musim ini.

Pemandu Jerman itu bermula dengan baik apabila berjaya memintas gandingan Mercedes, Lewis Hamilton dan Nico Rosberg di selekoh pertama Grand Prix (GP) Kanada, di sini, awal pagi tadi.

Ferrari percaya adalah mustahil untuk hanya melakukan satu hentian pit, jadi Vettel berhenti awal untuk melakukan dua kali hentian pit, langkah yang memakan diri apabila tayar digunakan Hamilton tahan lebih lama daripada yang dijangkakan.

Pemandu Britain yang juga juara dunia tiga kali itu hanya melakukan satu hentian pit dan meraikan kejuaraan ke-45 dalam kerjayanya dan kelima di Kanada.

“Saya bukan jenis yang suka menyalahkan sesiapa,” kata Vettel selepas menamatkan saingan lima saat di belakang Hamilton di Litar Gilles Villeneuve.

“Saya fikir ia hujung minggu yang hebat buat Ferrari. Kami mengalami kesukaran pada awal musim kerana kami gagal untuk membuktikan kemampuan sebenar jentera kami dan ini mungkin permulaannya,” tambah Vettel yang menegaskan memang perancangan pasukannya dalam perlumbaan itu untuk melakukan dua hentian pit.

Katanya, dia terkejut melihat tayar lembut yang digunakan mampu bertahan lebih lama berbanding apa yang dijangkakan.

ARTIKEL YANG SAMA