Ferrari tidak miliki maklumat Mercedes

Ferrari tidak miliki maklumat Mercedes

LONDON, 16 Dis (Reuters) – Mercedes tiada sebab untuk mengesyaki data rahsia enjin yang dimuat turun oleh pekerjanya jatuh ke tangan Ferrari, kata juara Formula satu itu.

Pasukan itu yang mengambil tindakan ke atas juruteranya, Ben Hoyle menyatakan yang siasatan dalaman sedang dilakukan bagi menjaga kepentingan mereka dan pasukan lain.

Mercedes, yang diwakili juara dunia tiga kali Lewis Hamilton dan Nico Rosberg, berkata siasatan akan berterusan untuk tempoh dua hingga empat bulan dan sehingga mereka yakin semua maklumat rahsia itu diperoleh semula.

Mercedes tiada sebab untuk mengesyaki data rahsia jatuh ke tangan Ferrari. - Reuters
Mercedes tiada sebab untuk mengesyaki data rahsia jatuh ke tangan Ferrari. – Reuters

“Siasatan menunjukkan yang tiada sebab untuk kami mempercayai maklumat itu diserahkan kepada Ferrari,” kata pasukan yang berpangkalan di Britain itu semalam.

Minggu lalu, Mercedes berkata yang mereka akan mengambil tindakan undang-undang ke atas jurutera mereka yang akan berhenti hujung tahun ini dan dikatakan akan menyertai Ferrari.

Ferrari adalah pesaing utama Mercedes selepas mereka melakukan perubahan kepada unit kuasa dan prestasi berikutan musim 2014 yang mengecewakan di mana mereka gagal memenangi sebarang perlumbaan.