Festival AFC B-14 buka tirai

Festival AFC B-14 buka tirai

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Julai – Festival Bolasepak Bawah 14 Tahun (B-14) Serantau AFC 2016 dibuka rasmi petang ini oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Pada majlis pembukaan rasmi festival berkenaan, Pengurus Festival AFC, Dr. Shamil Kamil Mohamed telah menyampaikan ucapan alu-aluannya yang antara lain mengucapkan tahniah kepada Brunei Darussalam kerana terus diberi kepercayaan mengendalikan festival itu buat kali kedua selepas kejayaan mengendalikannya tahun lalu.

Majlis di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu dimulakan dengan persembahan kemahiran mengawal bola oleh 12 orang pemain B-13 Brunei Darussalam.

Perbarisan lintas hormat 10 pasukan yang menyertai festival kali ini menyusul selepas itu, diikuti dengan ucapan alu-aluan Dr. Shamil dan kemudiannya Yang Berhormat Pehin Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan diperkenalkan kepada pegawai dan pemain semua pasukan dan menyampaikan plak cenderahati kepada setiap pasukan.

Selepas itu barulah Yang Berhormat Pehin merasmikan festival sambil diiringi Dr. Shamil, Pemangku Timbalan Presiden NFABD, Haji Madli bin Haji Mohd Yusof dan Setiausaha Agong NFABD, Pengiran Haji Mohiddin bin Pengiran Badaruddin.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi ketika menerima cenderahati daripada pasukan Laos.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi ketika menerima cenderahati daripada pasukan Laos.

Kemuncak majlis ialah aksi Kumpulan A antara tuan rumah, Brunei Darussalam dengan Myanmar yang berkesudahan 2-1 memihak pasukan pelawat. Tiga pasukan lain dalam Kumpulan A ialah Thailand, Vietnam dan Singapura. Kumpulan B pula menempatkan Timor Leste, Malaysia, Kemboja, Filipina dan Laos.

Festival yang akan berakhir pada 26-30 Julai itu akan menyaksikan seramai 180 pemain muda berbakat mempamerkan bakat bermain bolasepak mereka masing-masing daripada keseluruhan 20 perlawanan semuanya iaitu 10 perlawanan dalam setiap kumpulan. Festival yang buat kali kedua diamanahkan oleh AFC kepada NFABD untuk mengendalikannya itu memfokuskan kepada elemen tertinggi dalam sukan di peringkat akar umbi, terutama sekali perkembangan kemahiran-kemahiran tinggi (permainan adil) berbanding penekanan kepada pertandingan atau kemenangan.

Festival menggunakan dua tempat berbeza iaitu Kompleks Sukan Berakas dan Padang & Balapan, KSNHB. Orang ramai boleh melayari laman sesawang NFABD di www.nfabd.org untuk maklumat lanjut mengenai perlawanan di sepanjang festival.

ARTIKEL YANG SAMA