Festival B-10 17 Nov ini

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Nov – Jabatan teknikal Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD) akan menganjurkan Festival B-10 yang akan berlangsung pada hari Jumaat, 17 Nov di Padang Sintetik NFABD.

Menurut pihak penganjur, festival itu bukanlah satu pertandingan, tiada ranking, mata dan hadiah untuk pemenang. Festival itu, yang akan bermula pada jam 8 hingga 10 pagi, akan mengadakan perlawanan lima orang sepasukan dengan beberapa stesen-stesen teknikal dan taktikal termasuk untuk penjaga gol.

Kesemua kelab, pasukan dan sekolah dialu-alukan untuk mendaftarkan pemain mereka yang lahir pada tahun 2007 dan seterusnya. Kemudian pasukan-pasukan akan dibahagikan mengikut peringkat usia, bukan mengikut kelab, sekolah atau pasukan.

Sehubungan dengan itu, pihak penganjur menggesa kesemua kelab dan sekolah untuk mengesahkan penyertaan mereka serta jumlah pemain yang didaftar sehingga Selasa ini, 14 Nov 2017 kepada Rozaimie Nizam di talian 2380047.