Festival B-14 anjur Rumah Terbuka

Festival B-14 anjur Rumah Terbuka

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Julai – Festival Bolasepak Serantau Bawah 14 Tahun (B-14) AFC 2016 menampilkan kelainan ketara dari tahun lalu apabila turut memuatkan program bersama masyarakat ‘Sentuhan Kasih’ dan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri NFABD khusus untuk pemain kebangsaan dan rakan berkepentingan NFABD.

Majlis di bawah kempen tanggungjawab korporat AFC yang buat julung-julung kalinya diadakan di negara ini telah menyaksikan penyerahan 20 biji bola tahan lasak ultra sumbangan AFC kepada Olimpik Khas Brunei Darussalam ((SOBD).

Majlis penyerahan simbolik kepada wakil SOBD itu telah berlangsung di Pusat Belia, Bandar Seri Begawan petang tadi dan telah disempurnakan oleh Setiausaha Agong NFABD, Pengiran Haji Mohiddin bin Pengiran Badaruddin selepas menerimanya daripada Ketua Jabatan Tanggungjawab Sosial AFC, Dr. Annathurai Ranganathan.

Majlis kendalian NFABD itu turut menyaksikan setiap pemain kebangsaan peringkat umur dan senior Negara Brunei Darussalam menerima ‘Sampul Hari Raya NFABD’ yang telah disampaikan oleh Pemangku Timbalan Presiden NFABD, Haji Madli bin Haji Mohd Yusof, Penolong Setiausaha Agong NFABD, Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud dan ExCo NFABD, Haji Abdul Razak bin Haji Ibrahim.

Pengiran Haji Mohiddin (tengah) menyerahkan bola tahan lasak ultra kepada wakil SOBD selepas menerimanya daripada Dr. Annathurai Ranganathan.
Pengiran Haji Mohiddin (tengah) menyerahkan bola tahan lasak ultra kepada wakil SOBD selepas menerimanya daripada Dr. Annathurai Ranganathan.

Hadir sama memeriahkan suasana majlis ialah Pengurus Festival AFC, Dr Shamil Kamil Mohammed, Setiausaha AFC, Khalid bin Idrus, ExCo dan pegawai serta kakitangan NFABD.

Majlis telah dimeriahkan dengan persembahan-persembahan nyanyian secara akustik dan karaoke oleh setiap pasukan kebangsaan mengikut pasukan peringkat umur masing-masing yang bermula dengan pasukan bawah 13 tahun (B-13) dan disudahi dengan pasukan B-23.

Dr. Annathurai Ranganathan berharap menerusi kesedaran baru dalam tanggungjawab sosial itu akan lebih mendekati kanak-kanak dan masyarakat melalui bola sepak dan memulakan usaha ke arah mewujudkan kesedaran serta memupuk gaya hidup sihat.

Kempen tanggungjawab sosial AFC telah bermula Khamis , 21 Julai 2016 dan akan berakhir dengan kempen kesedaran di tempat-tempat perlawanan semasa berlangsungnya festival berkenaan pada Selasa, 26 Julai 2016.