Festival Belia 3-6 Sept ini

Festival Belia 3-6 Sept ini

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Ogos – Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan akan menganjurkan Festival Hari Belia Kebangsaan pada 3 hingga 6 September depan di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Pelbagai peluang keusahawanan akan ditawarkan sepanjang festival empat hari itu, yang mana ia merupakan platform terbaik bagi para belia untuk menjana ekonomi.

Sehubungan itu, para belia terutamanya mereka yang sedang mencari pekerjaan adalah dialu-alukan untuk merebut peluang keemasan ini.

Menurut kenyataan Battle Pro Marketing and Management Services selaku pengurus rasmi acara, hari ini, lebih 70 petang gerai dan bazar jualan akan disewakan pada harga berpatutan, dengan 30 petak bazar untuk orang awam, 24 untuk usahawan muda tempatan dan 20 lagi untuk gerai makanan.

Festival berkenaan dijangka akan dihadiri lebih 20,000 pengunjung berdasarkan statistik pengunjung festival tahun lalu, lebih-lebih lagi festival ini akan berlangsung semasa cuti persekolahan.

Ia akan dibuka bermula 10 pagi hingga 10 malam kecuali pada hari Jumaat yang dibuka dari 2 petang hingga 10 malam.

Di samping gerai jualan, festival berkenaan juga akan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti Pesta Buah dan pencarian Raja Durian, Cinta Allah dan Rasulullah, Perlawanan Futsal, Bouncer gelongsor tertinggi di Brunei, pertandingan Play Station 4, persembahan nasyid dan tausyeh daripada artis tempatan dan luar negara serta bermacam-macam lagi.

Untuk keterangan lanjut, bolehlah menghubungi Battle Pro Marketing and Management Services di talian 8823425 atau mengikuti laman Facebook (Battle Pro Marketing & Management Services) dan Instagram (BattleProMMS).

ARTIKEL YANG SAMA