Festival belia buka tirai

Festival belia buka tirai

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Sept – Festival Hari Belia Kebangsaan 2015 telah membuka tirainya kepada orang ramai bermula kelmarin hingga 6 September ini di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, di mana ia membuka peluang kepada belia untuk menceburi bidang keusahawanan.

Perasmian festival empat hari berkenaan telah diadakan hari ini dan disempurnakan oleh Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Hajah Adina binti Othman.

Festival berkenaan merupakan platform terbaik bagi para belia untuk menjana ekonomi terutama mereka yang sedang mencari pekerjaan, di mana menerusi festival ini pelbagai peluang keusahawanan ditawarkan seperti jualan dan bazar.

Lebih 70 petak gerai dan bazar jualan telah disediakan yang terdiri daripada 30 petak bazar orang awam, 24 petak usahawan muda tempatan dan 20 petak gerai makanan.

Datin Paduka Hajah Adina ketika mengunjungi salah satu petak jualan di Festival Hari Belia Kebangsaan 2015.
Datin Paduka Hajah Adina ketika mengunjungi salah satu petak jualan di Festival Hari Belia Kebangsaan 2015.

Di samping itu, pelbagai aktiviti juga telah disediakan bagi memeriahkan lagi suasana festival, antaranya Pesta Buah-Buahan dan Pencarian Raja Durian, Malam Cinta Allah dan Rasulullah, Perlawanan Futsal, bouncer gelongsor tertinggi di Brunei, pertandingan Play-Station 4, persembahan nasyid dan tausyeh daripada artis tempatan dan luar negara serta banyak lagi.

Festival ini merupakan salah satu inisiatif Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan bagi menyahut seruan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk penghijrahan minda yang perlu dilakukan daripada para belia yang suka menunggu-nunggu dan berpeluk tubuh kepada rajin bekerja.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai festival ini, orang ramai boleh menghubungi Battle Pro Marketing and Management Services selaku pengurus acara berkenaan di talian 8823425 atau ikuti akaun Facebook Battle Pro Marketing & Management Services dan akaun Instagram BattleProMMS.

ARTIKEL YANG SAMA