Festival Bolasepak 2015 labuh tirai

Festival Bolasepak 2015 labuh tirai

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Dis – Festival Bolasepak Kali Ke-2, 2015 anjuran Jabatan Pendidikan Kokurikulum (JPKK), Kementerian Pendidikan berakhir kelmarin dengan CIMB YFA ‘A’, Kuala Lumpur merangkul kejuaraan dalam dua daripada empat kategori yang dipertandingkan manakala BSSSA-Amtrix dan BESA FC Junior masing-masing menjuarai satu kategori.

Kategori Bawah 9 Tahun (B9) dijuarai BSSSA-Amtrix, manakala Kategori B10 dijuarai CIMB YFA ‘A’, Kuala Lumpur. Menjuarai Kategori B12 ialah BESA FC Junior, sementara CIMB YFA muncul johan Kategori B14.

Muncul naib johan Kategori B9 ialah Skim Kilanas FC ‘B’, manakala tempat ketiga bersama dimenangi PERDA FC Junior dan BIBS SRC Kids.

BSSSA-Kota Junior muncul naib juara Kategori B10, disusuli CIMB YFA ‘B’ dan Savilla FC Junior selaku pemenang tempat ketiga bersama.

Kategori B12 menyaksikan naib johan menjadi milik CIMB YFA, manakala BSSSA-Hopejaya dan TABS SAFA Bandaraya Sabah memenangi tempat ketiga bersama.

Johan Kategori B9, BSSSA-Amtrix.
Johan Kategori B9, BSSSA-Amtrix.

Dalam Kategori B14 pula, naib johan dimenangi TABS SAFA Bandaraya Sabah, sementara tempat ketiga bersama dimenangi PERDA FC dan ABNS88, Miri.

Bagi Kategori B9 dan B10, juara menerima hadiah wang tunai $200, naib juara $150 dan tempat ketiga bersama $100 sepasukan, manakala bagi Kategori B12 dan B14, juara menerima $400, naib johan $250 dan tempat ketiga bersama $150 sepasukan.

Dalam festival kali ini, BSM telah turut menaja Anugerah Pemain Terbaik BSSSA-BSM 2015 dengan tema ‘Kehadiran Cemerlang Kunci Kejayaan’ khusus untuk para pemain BSSSA sahaja dari setiap kategori.

Kategori B9 dimenangi Mohd Zarif Muzaffar Hana Rizal, manakala Kategori B10 dimenangi Mohd Wafiq Danish bin Mohd Hasimulabdillah. Kategori B12 pula menjadi milik Mohd Bakhtiar Rifae bin Haji Lias manakala Lee Lok Phin memenangi Kategori B14.

Menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang setiap kategori ialah Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan, Pengiran Suhaimi bin Pengiran Haji Bakar.

Manakala Anugerah Pemain Terbaik BSSSA-BSM disampaikan oleh Pengarah Urusan BSM, Pengiran Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.

Mengiringi semasa penyampaian hadiah itu ialah Pemangku Pengetua Sekolah Sukan, Dayang Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim.

Festival kendalian Sekolah Sukan di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu telah menyaksikan penyertaan sejumlah 10 buah pasukan dari setiap empat kategori peringkat umur yang dipertandingkan termasuk 12 buah pasukan dari luar negara.

ARTIKEL YANG SAMA