Festival Bolasepak Ke-2 tarik penyertaan luar negara

Festival Bolasepak Ke-2 tarik penyertaan luar negara

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Dis – Festival Bolasepak Kali Ke-2, 2015 anjuran Jabatan Pendidikan Kokurikulum (JPKK), Kementerian Pendidikan akan berlangsung tidak lama lagi bermula 12 hingga 13 Disember ini. Festival kali ini berjaya menarik 12 buah pasukan dari luar negara termasuk penyertaan pasukan-pasukan baru dari Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah iaitu PDL SMK Labuan (1 pasukan), SMK Pantai Labuan (1 pasukan) dan TABS SAFA Bandaraya Sabah (2 pasukan) serta sebuah pasukan dari Miri iaitu SR Merbau, Miri.

Manakala pasukan luar yang kembali semula menyertai festival berkenaan ialah CIMB YFA, Kuala Lumpur (4 pasukan) dan ABNS88, Miri (3 pasukan).

Festival kendalian Sekolah Sukan di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu nanti akan menyaksikan penyertaan sejumlah 10 buah pasukan dari setiap empat kategori peringkat umur yang dipertandingkan iaitu Bawah 9 Tahun (B9), Bawah 10 Tahun (B10), Bawah 12 Tahun (B12) dan Bawah 14 Tahun (B14).

Majlis Pengundian bagi festival yang mendapat sokongan Biro Kawalan Narkotik (BKN) dan Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan itu telah pun dijalankan pada malam 16 November yang lalu di Dewan Kuliah, Sekolah Sukan yang telah disempurnakan oleh Penolong Pengetua Sekolah Sukan, Azrin bin Haji Aji.

Bersaing dalam B9 bagi Kumpulan A ialah BIBD SRC Kids, Skim Kilanas FC ‘A’, BSSSA, BSSSA–Netstertech dan BSSSA-Amtrix, manakala PERDA FC Junior, Super Jr-GZFT, BSSSA-D’Crystal Crown, BSSSA-JFC dan Skim Kilanas FC ‘B’ bersaing dalam Kumpulan B.

Kumpulan A, Kategori B10 pula menyaksikan pertembungan CIMB YFA ‘A’, ABNS88, Savilla Jr, BSSSA-JCAD dan BIBD SRC Kids, manakala dalam Kumpulan B ialah CIMB YFA ‘B’, AAG Junior, Skim Kilanas FC, BSSSA-Kota Junior dan BSSSA-Amtrix.

Bertembung dalam Kumpulan A, B12 ialah CIMB YFA, BSSSA-Amimasdi Sports Shop, Skim Kilanas FC, ABNS88 da BESA FC, sementara bertembung dalam Kumpulan B ialah BSSSA-Hopejaya, SR Merbau, AKSE Bersatu, BIBD SRC Kids dan TABS SAFA Bandaraya Sabah.

Kumpulan A bagi B14 pula akan menyaksikan persaingan antara BIBD SRC Kids, Skim Kilanas FC, ABNS88, BSSSA dan PDL SMK Labuan, manakala dalam Kumpulan B ialah CIMB YFA, Brunei Sports School, BSSSA-Al Idrus, TABS SAFA Bandaraya Sabah dan SMK Pantai Labuan. – Hasrulraizan

ARTIKEL YANG SAMA