Festival Burung Borneo di RDC Sepilok masuki edisi kelapan

Festival Burung Borneo di RDC Sepilok masuki edisi kelapan

SANDAKAN, 8 Sept – Satu daripada festival burung yang dinanti-nantikan di rantau ini, Festival Burung Borneo, akan diadakan dari 15 hingga 17 Sept ini di Pusat Penemuan Hutan Hujan (RDC), Sepilok, dekat sini.

Pengerusi jawatankuasa penganjur, Cede Prudente berkata Festival Burung Borneo membolehkan pengunjung mengenali pelbagai spesis burung berwarna-warni yang terdapat di habitat semulajadi.

Festival itu bertujuan mewujudkan kesedaran orang ramai mengenai pemuliharaan burung, menggalakkan aktiviti memerhati burung dan eko pelancongan, kata beliau dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Prudente berkata, festival tahunan edisi kelapan itu sekali lagi akan diadakan di RDC Sepilok yang menyaksikan lebih 300 spesies burung direkodkan termasuk burung “Bornean Bristlehead”, “Bornean Falconet” dan “Black-crowned pitta.”

Beliau berkata festival itu ialah anjuran bersama Lembaga Pelancongan Sabah, Jabatan Perhutanan Sabah dan Kelab Burung Borneo Sandakan. – Bernama