Festival Fesyen Muslimah pamer pelbagai produk

Festival Fesyen Muslimah pamer pelbagai produk

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Dis – Festival Fesyen Muslimah yang diadakan bagi mempromosikan barangan Muslimah tempatan dan luar negara, membuka tirainya hari ini di Tingkat 7, Gold Stone Ballroom, Hotel Centrepoint, Gadong di mana ia akan dibuka untuk kunjungan ramai sehingga 27 Disember.

Menurut Pengasas Bersama HZH Event Management, Pengiran Hafizah binti Pengiran Manshor, festival yang diadakan ini adalah untuk mendedahkan pengusaha-pengusaha tempatan bagi mempromosikan dan mempamerkan rekaan fesyen Muslimah serta menggalakkan para pengusaha tempatan supaya berinteraksi dan bertukar pandangan bersama pengusaha luar negara.

Selain itu, festival yang merupakan julung kali diadakan oleh HZH Event Management itu juga merupakan salah satu inisiatif untuk memperkenalkan pengusaha-pengusaha tempatan kepada orang ramai yang berkeinginan melihat lebih dekat fesyen Muslimah terkini.

Turut serta dalam festival ini ialah artis-artis dari Malaysia seperti Bienda, Deja Moss dan Mizz Nina yang juga mempamerkan serta mempromosikan produk mereka di negara ini.

Bienda bersama Pengasas HZH Event Management, antara yang menyertai festival berkenaan.
Bienda bersama Pengasas HZH Event Management, antara yang menyertai festival berkenaan.
Deja Moss juga ketika mempromosikan produk kuih-muihnya.
Deja Moss juga ketika mempromosikan produk kuih-muihnya.

Lebih 20 jenama terkenal dari dalam dan luar negara ikut serta dalam festival ini, antaranya Biendalavienda, Nealofar, Bokitta, Lulwa, Mumu Scarves, Maembong Trendyz, El Jumana, Hijab Maryam dan Naurah Kayla.

Bagi memeriahkan lagi suasana festival itu, beberapa program turut diadakan seperti tutorial hijab, perbincangan perniagaan, ceramah dan banyak lagi. Orang ramai khususnya Muslimah yang berkeinginan mengikuti ceramah khusus, mereka perlu hadir di festival itu esok jam 4 hingga 5 petang.

Pengiran Hafizah juga melahirkan harapan agar HZH Event Management akan dapat mengadakan aktiviti atau program yang melibatkan pengusaha-pengusaha tempatan supaya mereka dikenali ramai dan bergiat aktif dalam menjalankan perusahaan mereka di samping dapat mempromosikan produk mereka tersendiri.

Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan berkunjung ke festival berkenaan yang dibuka dari jam 10 pagi hingga 9 malam.

Festival Fesyen Muslimah ini turut disokong oleh Brunei Islamic Fashion (BIFash).

ARTIKEL YANG SAMA