Festival Filem dan Makanan Jepun bermula

Festival Filem dan Makanan Jepun bermula

Oleh Normazlina M.D

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Sept – Budaya terutamanya makanan Jepun amat terkenal di seluruh dunia termasuk Brunei Darussalam di mana terdapat 32 buah restoran yang menyajikan makanan dari negara matahari terbit itu telah dicatatkan oleh Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam sehingga bulan Jun ini.

Sehubungan itu, bagi mempromosikan lagi kebudayaan makanan Jepun di negara ini, Festival Filem dan Makanan Jepun diadakan selama tiga hari bermula hari ini sehingga 20 Ogos di ruang legar Kompleks Membeli-belah Times Square.

Majlis perasmian festival berkenaan telah dihadiri oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Hazair bin Haji Abdullah selaku tetamu kehormat, bersama isteri, Datin Hajah Rosnah binti Pehin Datu Indera Sugara Dato Haji Johari.

Duta Besar Jepun ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Noriko Iki semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya pada majlis itu berkata, festival ini merupakan yang pertama diadakan selepas tujuh tahun Kedutaan Jepun hanya mengadakan festival filem Jepun sebagai majlis kebudayaan dan kini festival itu digabungkan dengan pameran makanan Jepun di negara ini.

Puan Yang Terutama melahirkan harapan agar festival yang diadakan ini akan menyumbang kepada peningkatan persefahaman dan mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Jepun.

Yang Berhormat Pehin Haji Hazair dan Puan Yang Terutama Noriko Iki memotong riben merasmikan Festival Filem dan Makanan Jepun kelmarin.
Yang Berhormat Pehin Haji Hazair dan Puan Yang Terutama Noriko Iki memotong riben merasmikan Festival Filem dan Makanan Jepun kelmarin.
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Hazair merasakan susyi, makanan Jepun yang terkenal di seluruh dunia di Majlis Perasmian Festival Filem dan Makanan Jepun di kompleks membeli-belah Times Square di ibu negara. Turut hadir ialah Duta Jepun ke Brunei Darussalam Puan Yang Terutama Noriko Iki.
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Hazair merasakan susyi, makanan Jepun yang terkenal di seluruh dunia di Majlis Perasmian Festival Filem dan Makanan Jepun di kompleks membeli-belah Times Square di ibu negara. Turut hadir ialah Duta Jepun ke Brunei Darussalam Puan Yang Terutama Noriko Iki.

Sepanjang festival berkenaan, para pengunjung akan berpeluang mengenali makanan Jepun dan menyaksikan filem yang berkaitan dengan makanan Jepun, di samping menyaksikan demonstrasi masakan oleh cef dari Kedutaan Jepun.

Pameran makanan yang diadakan pula disertai oleh restoran-restoran makanan Jepun yang terdapat di negara ini dan Hana Soy & World sebagai sebuah syarikat usaha sama antara Jepun dan Brunei yang mengedarkan bahan atau produk kacang soya.

Beberapa aktiviti menarik juga diadakan bersempena festival itu, antaranya kuiz dan pertandingan memakan Wasabi. Empat buah filem Jepun iaitu Mourning Recipe, The Kami of Ramen, Ramen Samurai dan A Tale of Samurai Cooking akan ditayangkan di Ruang Legar Kompleks Membeli-belahTimes Square, yang bertujuan untuk mempromosikan budaya makanan Jepun di negara ini.

Sehubungan itu, orang ramai dialu-alukan hadir menyaksikan filem tersebut secara percuma.

Majlis perasmian petang tadi diikuti dengan demonstrasi makanan Jepun oleh cef berpengalaman dari Tokyo, Eiji Usuki yang mempunyai kepakaran dalam masakan Jepun dan menunjukkan kepakarannya dalam teknik memotong ikan.

Festival ini merupakan anjuran bersama Kedutaan Besar Jepun di Negara Brunei Darussalam, Kompleks Membeli-belah Times Square dan Japan Foundation.

ARTIKEL YANG SAMA