Festival Hari Belia labuh tirai

Festival Hari Belia labuh tirai

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Sept – Festival Hari Belia Kebangsaan 2015 yang berlangsung selama empat hari di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, telah melabuhkan tirainya kelmarin dengan sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai terutamanya golongan belia.

Menurut kenyataan Battle Pro Marketing & Management Services selaku pengendali festival anjuran Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan itu, hari terakhir festival telah menyaksikan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan-pertandingan yang telah diadakan sepanjang acara berkenaan seperti Pertandingan Legend Fifa14, peraduan mewarna, Pencarian Bintang Akustik Belia dan cabutan bertuah.

Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Pengurus Battle Pro Marketing & Management Services, Haji Syed Mohd Yassin bin Haji Syed Anayatullah Shah.

Menurut kenyataan itu lagi, festival ini memfokuskan kepada beberapa aspek iaitu usahawan belia, sukan dan sukarelawan yang telah berjaya ditanai menerusi peluang yang diberikan sepanjang festival.

Dalam bidang keusahawanan misalnya, sebanyak 70 petak gerai dan bazar jualan telah disediakan terutama bagi golongan belia yang ingin cuba berniaga secara kecil-kecilan, tidak kurang juga kalangan usahawan belia yang telah berjaya tetapi turut menyertainya bagi memberikan sokongan moral kepada belia lain.

Haji Syed Mohd Yassin bergambar bersama pemenang pertandingan Fifa14.
Haji Syed Mohd Yassin bergambar bersama pemenang pertandingan Fifa14.

Rata-rata peniaga meluahkan perasaan terima kasih kepada pihak penganjur atas inisiatif berkenaan dan menyarankan agar festival seumpamanya akan diteruskan di masa akan datang.

Manakala itu, dari aspek sukan pula, pihak penganjur telah berusaha menyediakan platform kepada golongan belia untuk menunjukkan bakat sukan mereka menerusi sukan kalestenik, bola sepak gaya bebas ‘panna’, Snookball (gabungan snuker dan bola sepak), pertandingan Fifa14 dan berbasikal.

Menurut kenyataan itu, kesemua acara sukan berkenaan telah mendapat sambutan yang luar biasa daripada pengunjung, terutamanya bagi bola sepak Panna dan kalestenik yang mana, kedua-dua sukan ini baru bertapak di negara ini dan menerusi festival berkenaan telah memberikan pendedahan yang luas mengenainya.

Festival berkenaan turut menyaksikan penglibatan ramai belia ketika kempen derma darah, yang menunjukkan bahawa belia sedar dan peka untuk membantu mereka yang memerlukan.

ARTIKEL YANG SAMA