Festival Hijrah 2016 buka tirai

Festival Hijrah 2016 buka tirai

Oleh Imelda Groves HA

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Sept – Festival Hijrah 2016 anjuran Jabatan Belia dan Sukan dengan Battle Pro Marketing & Management Services, membuka tirainya hari ini di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, di sini, di mana ia akan berlangsung sehingga 2 Oktober.

Hadir menyempurnakan perasmian festival empat hari berkenaan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan diiringi oleh Haji Syed Mohd Yassin bin Haji Syed Anayatullah Shah yang merupakan pengasas Festival Hijrah.

Dalam ucapan alu-aluannya, Haji Syed Mohd Yassin antara lain menyatakan bahawa Festival Hijrah merupakan inisiatif Battle Pro Marketing & Management Services iaitu di bawah jenama Battle Pro Event dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan, KKBS yang diadakan selaras dengan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan Brunei sebagai sebuah Negara Zikir.

“Dengan membawakan tema Islamic Lifestyle and Fashion Expo, kami cuba mengetengahkan elemen pendidikan, hiburan Islamik dan keusahawanan sebagai pengisian program festival ini.”

Jelasnya lagi, festival ini bertujuan bagi memupuk dan menanamkan rasa minat untuk mengenal dan mempelajari ilmu-ilmu agama melalui aktiviti-aktiviti yang telah direncanakan iaitu dengan menggunakan metode yang lebih seronok, menarik dan tidak membosankan.

Dato Paduka Dr. Haji Affendy ketika merasmikan Festival Hijrah.
Dato Paduka Dr. Haji Affendy ketika merasmikan Festival Hijrah.

“Festival Hijrah ini juga adalah salah satu inisiatif untuk memberikan peluang kepada usahawan-usahawan dalam membantu memantapkan eko-nomi negara sebagai satu alternatif khususnya dalam keadaan ekonomi yang penuh dengan cabaran pada masa ini.

“Hal ini juga adalah selaras dengan titah Baginda Sultan yang menyeru orang ramai khususnya para belia untuk menjana ekonomi melalui bidang keusahawanan,” tambahnya lagi. Festival Hijrah mula dibukakan kepada kunjungan orang ramai dari jam 11 pagi hingga 10 malam.

Antara aktiviti yang bakal diadakan termasuk Peraduan Tulisan Jawi, Peraduan Hijahiyyah: Bina Perkataan dan Peraduan Teka Lagu Nasyid.

Selain itu, 1,000 baucar sempena Hari Guru juga telah diberikan kepada 1,000 orang guru terawal yang hadir ke festival berkenaan sebagai tanda penghargaan atas jasa mereka sempena Hari Guru 2016.

Di samping itu, kempen derma darah juga diadakan hari ini, dari jam 11 pagi hingga 3 petang, manakala pada sebelah malam pula diadakan ceramah khas sempena Maal Hijrah yang disampaikan oleh penceramah belia tempatan, Awang Khairul Nazif bermula 7:45 malam.

Aktiviti-aktiviti berkenaan akan sentiasa berlangsung hingga 10 malam dan pada aca-ra itu juga akan diikuti dengan Pertandingan Nasyid Peringkat Saringan pada sebelah petang dan malam, esok.

Sehubungan itu, orang ramai dialu-alukan hadir bersama keluarga untuk menyokong para peserta yang mengikuti Pertandingan Nasyid Era 90-an dan berpeluang memenangi pelbagai hadiah yang disediakan dengan menyertai aktiviti-aktiviti yang disediakan.

ARTIKEL YANG SAMA