Festival Kebudayaan Borneo 2015

Festival Kebudayaan Borneo 2015

SIBU, 30 Jun (Bernama) – Festival Kebudayaan Borneo (BCF) 2015 akan diadakan di Dataran Bandar Sibu dari 30 Julai hingga 8 Ogos.

Pengerusi jawatankuasa penganjur festival tahunan ke-12 itu, Datuk Andrew Wong Kee Yew, berkata pelbagai acara menarik telah disusun, termasuk persembahan pentas, bagi menjayakan festival yang sinonim dengan bandar ini.

“Ia melibatkan 15 kumpulan tempatan, dua dari semenanjung, masing-masing satu dari Indonesia, India, Taiwan, China dan Korea Selatan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Persembahan yang akan diadakan termasuk tarian tradisional dan moden, seni bela diri dan nyanyian.

Selain persembahan di pentas utama, pelbagai aktiviti diadakan setiap malam di pavilion Melayu/Melanau, Dayak, Cina dan belia.

Sibu Tradex (ekspo perdagangan), yang diadakan bersempena BCF di Dataran Bandar Sibu Fasa II, juga akan mengadakan pelbagai aktiviti menarik untuk orang ramai seperti promosi produk, peraduan bakat muda, pertandingan melukis komik, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak dan pertandingan tarian.

Wong mempelawa penduduk Sibu dan kawasan sekitarnya mengunjungi festival itu sambil bersuka ria.

Beliau, yang juga timbalan pengerusi Majlis Perbandaran Sibu, bagaimanapun menasihati orang ramai supaya tidak meletak kenderaan dengan sesuka hati di Dataran Bandar Sibu kerana kawasan itu akan sesak ketika festival berkenaan diadakan.

“Mereka yang tidak mematuhi peringatan ini akan dikenakan kompaun,” katanya sambil menjelaskan bahawa orang ramai boleh meletak kenderaan mereka di tempat sewajarnya di luar kawasan Dataran Bandar Sibu.