Festival Kecergasan GFCF 18 September ini

Festival Kecergasan GFCF 18 September ini

Oleh Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Sept – Dalam usaha untuk mengumpul dana bagi peralatan gimnasium pusat pemulihan baru Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan), GetFit CrossFit (GFCF) julung-julung kalinya akan mengadakan Festival Kecergasan pada 18 September 2016 ini di Kelab Rekreasi Diraja Brunei (RBRC).

Perkara ini telah pun diumumkan oleh wakil GFCF, Olivia Ong semasa sidang media yang berlangsung di RBRC, pagi tadi.

Menurut beliau, festival ini julung-julung kalinya diadakan dengan kerjasama RBRC, Syarikat Cityneon Sdn Bhd dan Creative Design, yang mana ia akan disertai oleh lebih 10 buah gimnasium di negara ini bagi memberikan orang ramai pengalaman dan meningkatkan kesedaran mengenai perkhidmatan yang ditawarkan oleh gim masing-masing.

Antara gim yang menyertai semasa festival itu nanti ialah GFCF, Guffaw.bn, Helmi Abdullah Bootcamp, Shooting Stars, Mairgix Fitness Centre, Brunei Calisthenics, Tennis, Brusthetics, Poni Divers, Athos Fencing, Brunei’s Fencing Federation, Kendo, APEX Taekwando, Bubble Monkey, Fitness Zone dan HiTune.

Manakala itu, antara aktiviti yang akan ditawarkan oleh gim masing-masing seperti bubble wrestling, bubble football, bootcamp, aktiviti bola keranjang, parkour, power lifting, archery target, kickboxing, Muay Thai dan banyak lagi.

Sidang media bagi Festival Kecergasan pada 18 September ini, yang akan diadakan di RBRC.
Sidang media bagi Festival Kecergasan pada 18 September ini, yang akan diadakan di RBRC.

Beliau menjelaskan lagi bahawa festival itu nanti akan bermula pada jam 10 pagi sehingga 6 petang dan mempunyai dua waktu rehat pada jam 12 tengah hari dan 3 petang bagi menghormati waktu azan.

Semasa festival itu nanti juga akan diadakan persembahan istimewa pada jam 2 petang sehingga 4 petang anjuran Adaptive Fitness Program To Move Wonders! yang akan disertai oleh lebih 15 orang kanak-kanak istimewa Pusat Ehsan.

Manakala itu, pada jam 4 petang sehingga 5 petang akan diadakan kelas istimewa oleh Fitness Zone dan diikuti dengan sesi bootcamp Helmi Abdullah pada jam 5 petang sehingga 5:45 petang.

Festival ini, jelasnya lagi, akan menggunakan sistem baucar bagi orang ramai yang ingin menyertai aktiviti-aktiviti berkenaan dan baucar ini didapati dalam satu buku kecil dengan harga $10. Buku kecil ini nanti mengandungi 10 keping baucar dan setiap baucar bernilai $1.

Menurutnya lagi, bagi setiap $1 yang dibelanjakan akan disumbangkan kepada Pusat Ehsan.

Orang ramai yang berminat, bolehlah membeli buku kecil itu nanti semasa hari festival atau boleh didapati di Pusat Ehsan, Under Armour, The Marathon Shop, Fitness Zone, Restoran Kimchi dan Paddington House of Pancakes.

Festival ini bertujuan untuk menggalakkan orang ramai terutama sekali keluarga untuk mencuba aktiviti sukan yang berlainan di samping memupuk sifat kekeluargaan dan menggalakkan gaya cara hidup sihat bersama orang yang tersayang.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Pengurus Pembangunan Perniagaan RBRC, Dayang Yasmin binti Abdullah; Pengurus Besar, Haji Kadri bin Abdul Hamid; ahli Jawatankuasa Sukarelawan Pusat Ehsan, Jason Tan Boon; ahli Jawatankuasa GFCF, Mas Roslee bin Dato Paduka Haji Idris; dan Pemegang Amanah Dasar dan Perancangan Pusat Ehsan, Haji Ahmad bin Haji Abdul Rahman.

ARTIKEL YANG SAMA