Festival Keluarga Yayasan meriah

Festival Keluarga Yayasan meriah

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mei – Sebagai sokongan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) sempena Hari Ke-luarga Kebangsaan 2016, pihak pengurusan Kompleks Yayasan mengadakan Festival Hari Keluarga yang berlangsung selama tiga hari hingga hari ini di plaza tengah Kompleks Yayasan, di sini.

Festival yang dibukakan kepada orang ramai dari jam 8 pagi hingga 9 malam ini telah diisikan dengan pelbagai aktiviti dan hiburan menarik seperti bouncer, pertandingan mewarna, ATV, flying-fox, pertunjukan haiwan peliharaan seperti kucing, arnab, cavy, burung kakak tua dan reptilia, Jerayawara Jabatan Bomba dan Penyelamat, melukis muka, inai, jualan makanan dan minuman serta bermacam-macam lagi.

Manakala itu, pagi tadi, festival turut dimeriahkan dengan sesi bertemu pasukan Brunei DPMM FC bersama peminat.

Turut sama menghadiri acara berkenaan ialah Pengarah Urusan Yayasan, Haji Brahim bin Haji Ismail, penolong-penolong pengarah urusan, para pegawai dan kakitangan Yayasan serta guru sekolah-sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Salah seorang pengusaha yang turut menyertai jualan di festival berkenaan, ketika ditemui berkata, menjelang Hari Keluarga kebangsaan, semua pihak termasuk ibu bapa dan penjaga serta agensi-agensi kerajaan dan swasta mempunyai perancangan sendiri untuk meraikannya.

Pengarah Urusan Yayasan melihat lebih dekat aktiviti berkuda di kawasan letak kereta Yayasan.
Pengarah Urusan Yayasan melihat lebih dekat aktiviti berkuda di kawasan letak kereta Yayasan.
Antara aktiviti yang memeriahkan Festival Hari Keluarga Yayasan.
Antara aktiviti yang memeriahkan Festival Hari Keluarga Yayasan.
Seorang pelanggan sedang menunggu pesanan ayam salai daripada salah seorang pengusaha yang menyertai sambutan itu.
Seorang pelanggan sedang menunggu pesanan ayam salai daripada salah seorang pengusaha yang menyertai sambutan itu.

Namun apa salahnya dibuat sedikit perubahan dengan mengadakan perhimpunan dan riadah bersama kerana Hari Keluarga Kebangsaan tidak akan mencapai tujuan dan matlamatnya tanpa kerjasama semua pihak, tambah Pengiran Sham bin Pengiran Haji Ahmad yang merupakan pemilik Gerai BBQ Raja Salai.

Menurut Yayasan, bermula 2012 setiap Ahad pertama bulan Mei telah diisytiharkan sebagai Hari Keluarga Kebangsaan bagi Negara Brunei Darussalam sebagai pengiktirafan terhadap kepentingan peranan institusi keluarga yang kukuh dan harmoni dalam pembentukan sebuah masyarakat yang berdaya tahan dan berdaya maju serta mendukung ke arah pembangunan negara yang mantap lagi berintegrasi tinggi.

Tema tahun ini ialah ‘Keluarga Berwawasan’, selaras dengan tema Hari Kebangsaan 2016, yang mana keluarga berwawasan akan melahirkan generasi berwawasan yang bakal mencorak masa depan negara untuk menjadikan negara ini sebagai sebuah negara yang baik serta mendapat pengampunan dan perlindungan daripada Allah Subhanahu Wata’ala.