Festival Makanan dan Filem Jepun

Festival Makanan dan Filem Jepun

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Sept – Pusat Membeli-belah Times Square dengan sokongan Kedutaan Jepun di Brunei, Yayasan Jepun dan Kementerian Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Jepun akan mengadakan Festival Makanan dan Filem Jepun di atrium pusat membeli-belah berkenaan pada 18 hingga 20 September depan.

Pada festival berkenaan, para pengunjung akan dapat memahami lebih mendalam mengenai makanan Jepun menerusi filem yang berkaitan dengannya, demonstrasi masakan oleh cef-cef duta Jepun dan yang lain serta pondok-pondok pameran yang akan disediakan, menurut kenyataan yang dikeluarkan Kedutaan Jepun di sini, hari ini.

Tayangan filem berkenaan dibukakan secara percuma kepada orang ramai dengan tujuan untuk mempromosikan kesedaran kebudayaan di antara Jepun dan Brunei Darussalam. Oleh sebab tempat duduk yang terhad, kemasukan adalah atas dasar yang dahulu didahulukan.

Menurut kenyataan berkenaan, filem Mourning Recipe akan ditayangkan pada 18 September jam 6:30 petang dan 20 September jam 2:00 petang, dengan mengisahkan mengenai seorang ibu meninggalkan resipi kehidupan yang menggembirakan semula sebuah keluarga yang berdepan kedukaan.

Filem Kami of Ramen, yang akan ditayangkan pada 19 September jam 2:00 petang dan 20 September 4:30 petang, mengisahkan mengenai sebuah kedai ramen dinamakan ‘Taishoken’ yang mempunyai sejarah 50 tahun dan terkenal dengan barisan pelanggan yang panjang.

Pada 4:00 petang 19 September dan 6:30 petang 20 September, filem Kami of Ramen akan ditayangkan dengan mengisahkan drama sebuah keluarga berdasarkan satu artikel oleh pemilik sebuah restoran ramen popular.

Manakala itu, A Tale of Samurai Cooking akan ditayangkan pada 6:30 petang 19 September, yang mana filem ini mengisahkan mengenai drama mengharukan dengan latar belakang zaman Edo Jepun.

Bagi maklumat lanjut, orang ramai bolehlah menghubungi Pusat Membeli-belah Times Square di talian 2338208 atau Kedutaan Jepun di talian 2229265.

ARTIKEL YANG SAMA