Festival Perayaan 69 di Tutong, 29 Ogos ini

Festival Perayaan 69 di Tutong, 29 Ogos ini

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 25 Ogos – Bagi memeriahkan lagi sambutan perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-69, Daerah Tutong akan menganjurkan Festival Perayaan 69 pada 29 Ogos ini, di Kawasan Tatangan Sungai Tutong.

Sepanjang festival itu, beberapa atur cara telah disusun, antaranya seperti Tanglung Berjalan Kaki, Pakaian Beragam, Perahu Bercucul di atas Sungai Tutong, Persembahan Bunga Api, Jualan Bazar, Permainan Keluarga dan bermacam-macam lagi.

Sehubungan dengan itu, acara bagi mereka cipta dan menghasilkan tanglung-tanglung bagi festival berkenaan telah dirasmikan petang tadi oleh Pegawai Daerah Tutong, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali di Dewan Kemasyarakatan daerah ini.

Di majlis perasmian itu, Awang Wardi yang juga selaku tetamu kehormat juga berkesempatan meninjau mereka yang terlibat dalam penghasilan tanglung yang akan dipamerkan semasa festival itu nanti.

Awang Wardi berkesempatan meninjau mereka yang terlibat dalam penghasilan tanglung untuk dipamerkan pada 29 Ogos nanti.
Awang Wardi berkesempatan meninjau mereka yang terlibat dalam penghasilan tanglung untuk dipamerkan pada 29 Ogos nanti.
Awang Wardi ketika merasmikan acara penghasilan tanglung di Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong, petang kelmarin.
Awang Wardi ketika merasmikan acara penghasilan tanglung di Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong, petang kelmarin.

Adapun tujuan menghasilkan Tanglung 69 adalah untuk memberi peluang kepada penduduk dan rakyat di daerah Tutong bagi sama-sama terlibat dalam menyemarakkan Sambutan Hari Keputeraan raja yang dikasihi dengan mencetuskan kesetiaan dan kecintaan kepada raja melalui penglibatan acara-acara keraian berbentuk kemasyarakatan.

Di samping itu, penghasilan tanglung ini juga adalah bagi memartabatkan budaya dan warisan bangsa, serta melahirkan generasi baru kreatif dan inovatif yang melibatkan penuntut-penuntut sekolah, agensi-agensi kerajaan, majlis perundingan mukim dan kampung, badan-badan dan persatuan kerajaan dan bukan kerajaan.

Dari itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk berkunjung ke festival ini bagi menyemarakkan lagi sambutan berkenaan di Daerah Tutong.