Festival Sastera, 15-17 April depan

Festival Sastera, 15-17 April depan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 April – Festival Sastera 2016 ke-6 yang membawa tema ‘Industri Seni Menginovasi Ekonomi’ akan diadakan pada 15 hingga 17 April ini di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka, Berakas.

Perkara ini dimaklumkan oleh pelajar Tahun 2, Jurusan Kesusasteraan Melayu, Universiti Brunei Darussalam (UBD), Awang Mohammad Rosmawardini bin Haji Wahab selaku salah seorang pengendali festival berkenaan semasa ditemui Media Permata, hari ini.

Festival anjuran mahasiswa-mahasiswi Program Kesusasteraan Melayu UBD dengan kolaborasi Modul Sastera dan Media dan Seni Persembahan Melayu, UBD itu bertujuan untuk memberigakan dan memperkenalkan kepada orang ramai agar mereka lebih peka mengenai dengan sastera bukan sahaja dalam kalangan pelajar-pelajar di negara ini malahan untuk orang awam.

Menjelaskan lanjut mengenai festival tersebut yang akan dibukakan untuk kunjungan orang awam, Awang Mohammad Rosmawardini berkata, ia akan diisikan dengan aktiviti-aktiviti menarik seperti persembahan-persembahan, pertandingan sketsa, sketsa pendek dan sebagainya.

Selain itu juga, festival ini akan mengadakan forum mengenai penulis dari Indonesia dan Malaysia.

Awang Mohammad Rosmawardini semasa ditemui pihak Media Permata mengenai Festival Sastera ke-6.
Awang Mohammad Rosmawardini semasa ditemui pihak Media Permata mengenai Festival Sastera ke-6.

Di samping aktiviti dan forum, festival ini juga akan mengetengahkan petak-petak jualan seperti makanan dan minuman.

“Kami sendiri juga akan membuat persembahan teater melalui modul seni persembahan Melayu dan persembahan ini merupakan sebahagian daripada kursus kami,” tambahnya.

Pada majlis pelancarannya, iaitu pada 15 April, Majlis Pelancaran Buku Sastera Media juga akan diselenggarakan oleh pelajar yang mengambil kursus sastera media.

“Insya-Allah jika festival sastera ini mendapat sambutan, kami akan mengadakannya di masa hadapan.”

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai khususnya para belia supaya akan dapat ikut serta dalam pertandingan-pertandingan seperti sajak, puisi dan apa saja yang berkaitan dengan sastera di mana saja ia diadakan dalam memupuk dan melahirkan minat dalam bidang sastera di negara ini.

Beliau turut melahirkan harapan agar orang ramai yang akan menyertai dan berkunjung ke festival itu nanti bagi sama-sama berganding bahu dalam memeriahkan dan menjayakan Festival Sastera 2016 ke-6.

ARTIKEL YANG SAMA