Festival Sastera di DBP

Festival Sastera di DBP

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 April – Bagi mengembangkan kegiatan kesusasteraan Melayu dalam kalangan warga universiti dan orang awam terutamanya generasi muda di Negara Brunei Darussalam, Festival Sastera 2016 diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka, Jalan Lapangan Terbang Lama Berakas, selama tiga hari bermula hari ini hingga 17 April.

Pelbagai acara telah pun diaturkan bagi memeriahkan suasana festival berkenaan yang merupakan kerja kursus AS-2203 (Modul Pengurusan Sastera) di bawah Program Bahasa, Kesusasteraan dan Kesenian Melayu, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Brunei Darussalam (UBD) dengan diselia oleh Awang Mohd Zefri Ariff bin Mohd Zain Ariff.

Antara pengisian festival termasuk gerai jualan makanan dan minuman, Festival Filem Pendek 360 Detik, Malam Kesenian Rakyat, Jelajah Seni (Treasure Hunt), Peraduan Mewarna dan Kejohanan Futsal.

Festival ini bakal dirasmikan pagi esok, di mana satu forum industri sastera akan turut diadakan bagi membicarakan hubung kait industri seni dalam penjanaan ekonomi.

Pelbagai isu-isu menarik yang akan dibincangkan oleh ahli panel dalam forum berkenaan yang terdiri daripada mahasiswa-mahasiswi Pengurusan Sastera, UNB dan para pemikir yang arif.

Manakala itu, Forum Industri Seni yang akan diadakan pada majlis perasmian festival itu, juga akan mengetengahkan seorang tokoh penulis dari Indonesia, iaitu Habiburrahman El-Shirazy.

Festival yang merupakan edisi ke-6 ini dianjurkan sejak kursus AS-2203 diperkenalkan dalam Program Bahasa, Kesusasteraan dan Kesenian Melayu, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, UBD, yang melibatkan kursus AS-3404 Seni Persembahan Melayu dan AS-1304 Sastera dan Media.

Kursus ini memberikan pendedahan kepada para mahasiswa-mahasiswi tentang dunia keusahawanan serta dunia perniagaan yang berteraskan kesusasteraan.

Di samping itu, projek ini dihasratkan untuk melahirkan individu berkualiti yang proaktif dan berdaya saing dalam arus globalisasi serta dapat menjadikan seni sastera ini sebagai satu platform dalam perkembangan ekonomi di Negara Brunei Darussalam sesuai dengan tema festival kali ini iaitu ‘Industri Seni Menginovasi Ekonomi’.

Festival Sastera 2016 ini dibukakan untuk kunjungan orang ramai khususnya penggiat seni tanah air, penuntut sekolah rendah, menengah dan institusi-institusi pengajian tinggi.

Bagi mengetahui lebih lanjut mengenai acara yang akan dijalankan sepanjang festival itu nanti, orang ramai bolehlah melayari laman Instagram FestivalSastera2016.

ARTIKEL YANG SAMA