Festival Sastera labuh tirai

Festival Sastera labuh tirai

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

Gambar oleh Aziz Idris

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 April – Festival Sastera 2016 yang melabuhkan tirainya hari ini merupakan satu inisiatif yang signifikan bagi dunia seni tanah air dan perlu dikendalikan secara berterusan.

Ini kerana festival tersebut dapat memperkenalkan para mahasiswa dan orang ramai kepada peranan dan aplikasi taridra dalam kehidupan bermasyarakat di negara ini.

Ketika berucap selaku tetamu kehormat pada Majlis Penutup Festival Sastera 2016 yang berlangsung di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka hari ini, Pengarah Radio Televisyen Brunei (RTB), Haji Muhammad Suffian bin Haji Bungsu berkata, Festival Sastera ke-6 2016 itu sangat bertepatan kerana program yang disusun atur menjadi gambaran akan inisiatif para siswa dan siswi ke arah pembentukan asas yang berlandaskan pemikiran ekonomi yang kukuh dan seimbang.

“Pada pandangan saya festival ini selari dengan tema Hari Kewangan 2016-2017 iaitu ‘Mengukuhkan Iklim Perekonomian Bagi Mendukung Pembangunan Berterusan’.”

Menurutnya, tema itu memberikan mesej yang cukup jelas akan penekanan negara untuk meneguhkan aktiviti perniagaan dan pelaburan yang didukung dengan modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam konsep ekonomi berasaskan pengetahuan.

Haji Muhammad Suffian (tiga, kiri) bersama para tetamu lain pada Majlis Penutup Festival Sastera 2016.
Haji Muhammad Suffian (tiga, kiri) bersama para tetamu lain pada Majlis Penutup Festival Sastera 2016.
Antara tetamu yang hadir pada Majlis Penutup Festival Sastera 2016 itu.
Antara tetamu yang hadir pada Majlis Penutup Festival Sastera 2016 itu.

Ujarnya lagi, dalam arus pembangunan teknologi digital yang semakin pantas, media baru turut memainkan peranan penting untuk diguna pakai sebagai instrumen bagi mengembangkan subjek sastera dan perkembangan ini dipopularkan melalui medium pengajaran dan pembelajaran mengikut peranti.

Beliau menegaskan, khalayak umum mengetahui bahawa generasi muda yang lahir pada zaman digital ini, seperti siswa dan siswi, akan lebih mudah faham tentang kegunaan media baru.

Sehubungan itu, pemahaman sastera melalui ruang siber dapat dimantapkan dan digunakan ke arah kemantapan bahasa dan sastera yang lebih berkesan khususnya kepada golongan muda.

Haji Muhammad Suffian juga berkata, keperluan sastera dan bahasa yang bermutu tinggi di sektor penerangan dan penyiaran adalah sangat kritikal terutama di negara ini yang mana jumlah para pengkarya adalah sangat kecil.

Oleh itu, adalah penting bagi para mahasiswa dan mahasiswi untuk mengasah bakat dan mendalami bidang penulisan atau apa saja bentuk karya seni yang dapat mengasah bakat mereka.

Beliau menjelaskan, RTB selaku badan penyiaran rasmi pihak kerajaan turut memerlukan karya-karya seni berkualiti tinggi yang mendukung ke arah penyampaian dan pemberigaan maklumat serta mesej-mesej penting kerajaan untuk khalayak ramai.

Menurutnya, pengurusan bahan bermaklumat memerlukan pengisian dan RTB sangat menggalakkan penghasilan karya-karya seni bukan saja untuk diterbitkan malah yang turut menjana perkembangan dan kemajuan ekonomi secara langsung dan tidak langsung.

Ke arah itu, sebagai satu inisiatif, RTB pada jangka masa panjang turut komited untuk mewujudkan himpunan penulis dalam satu pangkalan data yang mana kaedah seni atau skrip-skrip yang bersesuaian akan dikumpulkan dalam satu pangkalan data penerbitan.

Beliau menyuarakan keyakinan bahawa generasi muda terutama para mahasiswa dan mahasiswi berperanan sebagai penjana tenaga penggerak dan daya fikir dalam menongkah arus globalisasi menuju Wawasan Brunei 2035.

Sebelum mengakhiri ucapannya, beliau menyeru para mahasiswa dan mahasiswi supaya tidak lupa akan hala tuju wawasan tersebut bagi melahirkan para ilmuwan berpendidikan tinggi dan berkualiti tinggi yang bukan saja boleh dipasarkan tetapi juga yang sedia melaksanakan sebarang tugas yang diberikan kepada mereka.

Sejurus selepas ucapan tetamu kehormat, para hadirin telah dipersembahkan dengan 15 tayangan filem pendek 360 detik yang dihasilkan oleh pelajar UBD yang mengambil modul AC-4309 (Short Film Making).

Selepas itu, ia diikuti dengan persembahan tarian yang bertajuk ‘Enjut’ oleh Kelab Tarian Tradisional Universiti Brunei Darussalam.

Acara kemuncak majlis penutup festival yang dianjurkan oleh mahasiswa Modul Pengurusan Sastera di bawah Bahasa, Kesusasteraan dan Kesenian Melayu itu ialah penyampaian dana kepada persatuan SMARTER Brunei yang dikumpulkan sepanjang festival itu diadakan.

ARTIKEL YANG SAMA