FIA buat pusingan U

FIA buat pusingan U

pg23_160409_a

LONDON, 8 April (Reuters) – Formula Satu (F1) akan kembali menggunakan format kelayakan asal pada Grand Prix China di Shanghai minggu depan dan untuk baki musim ini, kata Persekutuan Perlumbaan Antarabangsa (FIA) dalam kenyataannya malam tadi selepas mendapat tentangan pasukan yang bertanding.

Perubahan itu hanya menunggu kelulusan oleh Suruhanjaya F1 dan Majlis Sukan Permotoran Dunia, sekali gus membawa kepada pengakhiran eksperimen yang gagal iaitu format penyingkiran ketika pusingan kelayakan.

Kenyataan itu memberitahu Presiden FIA Jean Todt dan Supremo F1 Bernie Ecclestone sudah bersetuju dengan keputusan itu demi kepentingan perlumbaan berprestij itu.

Majoriti pasukan sebelum ini kurang senang dengan perubahan format itu termasuk mengeluarkan surat bantahan kepada Ecclestone dan Todt, mendesak format 2015 dikembalikan dan menolak cadangan kedudukan petak ditentukan berdasarkan agregat masa kelayakan yang diperkenalkan FIA.

Format kelayakan pada musim ini, menyaksikan penyingkiran digunakan pada tiga sesi kelayakan dengan ia diluluskan secara tergesa-gesa sebelum bermula kempen ini.

Bagaimanapun, keputusan menyingkirkan pelumba berbanding membenarkan pelumba merebut kedudukan petak depan mencetuskan reaksi negatif di laman sosial.

Untuk musim 2015 sistem penyingkiran sekadar digunakan untuk dua peringkat awal tetapi mengguna pakai format lama bagi pusingan terakhir.

ARTIKEL YANG SAMA