Fibromyalgia kerap berlaku pada wanita

Fibromyalgia kerap berlaku pada wanita

FIBROMYALGIA boleh memberi kesan kepada semua peringkat umur. Ia adalah satu keadaan kronik yang boleh mencetuskan rasa sakit pada bahagian otot di seluruh tubuh.

Tumpuan rasa sakit ini biasanya berlaku pada bahagian leher dan belakang. Penyakit ini kerap berlaku pada wanita muda dan wanita pertengahan umur.

Tidak ada ujian secara terus untuk mendiagnosis fibromyalgia. Kes fibromyalgia tipikal boleh mengambil masa lebih kurang lima tahun untuk keputusan diagnosis yang tepat diberikan.

Antara diagnosis yang sering di salah anggap sebagai penyakit fibromyalgia adalah seperti sindrom kelesuan kronik. lupus, kekurangan vitamin D, kemurungan, artritis rheumatoid, sindrom sakit myofascial, diastrogi simpatetik refleks, penyakit berjangkit seperti hepatitis, AIDS dan Hipotiroidism.

Penyebabnya masih tidak diketahui, tetapi pakar mempercayai bahawa ia mungkin ada kaitan dengan tahap kimia abnormal dalam sistem saraf utama yang menyebabkan otak tersalah hantar tanda-tanda dari tubuh.

Sakit otot juga menjadi gejala penyakit fibromyalgia.
Sakit otot juga menjadi gejala penyakit fibromyalgia.

Dalam kebanyakan kes, ia boleh muncul disebabkan oleh keadaan tekanan emosi, fizikal atau psiko logikal seperti kecederaan, kematian orang tersayang atau melahirkan anak damit.

Mereka yang berada dalam situasi sebegini cenderung untuk mengalami kelesuan teruk dan rasa sensitif yang melampau berikutan rasa sakit, otot kejang, kesukaran tidur, masalah kognitif, kembung perut, pening dan sakit kepala yang dialami.

Penyakit ini juga boleh memberi kesan sampingan terhadap kehidupan kerana penghidapnya mendapati diri mereka sukar untuk melakukan aktiviti normal termasuk kerja seharian dan menguruskan rumah tangga.

Bukan sahaja itu, kadangkala untuk berjalan pun mereka akan berasa sukar untuk melakukannya.

Kebanyakan wanita yang menghidap fibromyalgia akan rasa tidak selesa pada kaki mereka sebaik sahaja bangun tidur.

Sindrom kaki resah itu biasa berlaku pada penghidap fibromyalgia yang boleh mengganggu tidur dan boleh membawa kepada rasa mengantuk pada waktu siang.

Cuaca sejuk dan panas boleh memberikan kesan sensitif pada tubuh setiap masa.

Sesetengah wanita penghidap fibromyalgia juga lebih sensitif terhadap perkara lain seperti bunyi bising atau cahaya terang yang berlaku di sekeliling mereka.

Rawatan

Ubat-ubatan adalah rawatan pertama untuk mengurangkan sakit fibromyalgia. Doktor mungkin mencadangkan untuk menggunakan ubat pelega kesihatan yang boleh dibeli di kaunter farmasi seperti aspirin, ibuprofen dan naproxen sodium.

Sekiranya, ubat pelega kesakitan tidak memberikan kesan yang diinginkan, doktor akan mempreskripsikan ubat pelega kesihatan yang lain.

Selain itu, doktor juga mungkin akan mempreskripsikan ubat anti kemurungan kerana ubat ini mampu melegakan rasa sakit dan kelesuan.

Mereka yang mengalami kegelisahan akibat daripada kesan gejala-gejala juga boleh mendapat kebaikan daripada ubat-ubatan anti kegelisahan.

Kadang kala ubat-ubatan juga tidak berkesan dalam melegakan kesakitan atau tidak dapat menyediakan kelegaan dengan sepenuhnya malah memberikan kesan sampingan yang lebih buruk.

Justeru itu, senaman seperti yoga, perubatan herba dan pilihan cara perubatan alternatif lain juga menjadi penyelesaian terbaik yang boleh dilakukan.

Penghidap fibromyalgia juga boleh mencuba akupunktur. Terdapat kajian yang telah diterbitkan dalam Jurnal Perubatan Rehabilitasi yang menunjuk-kan pesakit-pesakit fibromyalgia yang menerima rawatan akupunktur untuk mendapat kebaikan dan kelegaan daripada kesakitan jika dibandingkan dengan pesakit yang tidak melakukan rawatan yang sama.

Pesakit fibromyalgia juga kerap mengalami tahap Vitamin D rendah. Justeru itu, pengambilan supplemen Vitamin D mampu untuk memberi perbezaan terhadap gejala-gejala yang dialami. – MW