Fidel Ramos temui pegawai kanan China

Fidel Ramos temui pegawai kanan China

HONG KONG, 12 Ogos – Bekas pemimpin Filipina Fidel Ramos berkata hari ini beliau telah bertemu dengan pegawai kanan China ketika satu lawatan ke Hong Kong dengan tujuan mempertingkatkan hubungan di antara Manila dan Beijing, dengan kedua-dua pihak berusaha mengadakan perbincangan formal.

Hubungan telah menjadi dingin sejak tribunal sokongan PBB memutuskan pada bulan lalu bahawa tuntutan China ke atas kebanyakan Laut China Selatan adalah tidak sah, dalam satu kemenangan besar untuk Filipina yang mengemukakan kes tersebut.

Ramos – penyokong lama hubung Filipina-China yang lebih erat – dihantar sebagai duta perdamaian oleh presiden Filipina sekarang Rodrigo Duterte.

Dalam mesyuarat dua hari di Hong Kong, Ramos berkata beliau mengadakan perbincangan dengan Puan Fu Ying, pengerusi jawatankuasa hal ehwal luar Kongres Rakyat Nasional – badan perundangan yang dikawal oleh komunis China. Fu Ying adalah bekas duta ke Manila.

Beliau juga bertemu dengan Wu Shichun, presiden Institut Nasional Kajian Laut China Selatan di China. Dalam satu kenyataan yang ditandatangani oleh Ramos, Fu Ying dan Wu, mesyuarat digambarkan sebagai di antara “kawan lama” dan telah berlangsung ‘dalam suasana mesra’.

Ia menyenaraikan tujuh topik yang telah pun diliputi, termasuk pemuliharaan laut dan kerjasama untuk memerangi jenayah dan penyeludupan. Ramos memberitahu wartawan mereka belum membincang perbalahan wilayah di Laut China Selatan, tetapi telah berbincang mengenai hak penangkapan ikan di sana.

“Mereka membincang, dalam kapasiti peribadi, cara-cara untuk memajukan persaudaraan sejagat demi keamanan dan kerjasama di antara kedua-dua negara,” kata kenyataan bersama.

Ia menambah semua parti ‘tidak sabar-sabar’ untuk memulakan rundingan formal yang dikatakannya akan diteruskan di Beijing dan Manila. Ramos berkata perbincangan kedua akan diadakan tidak lama lagi. – AFP