FIFA ancam gantung Indonesia

FIFA ancam gantung Indonesia

pg20_150507_c

JAKARTA, 6 Mei (AFP) – FIFA telah mengarahkan kerajaan Indonesia membatalkan keputusan untuk membekukan semua aktiviti persatuan bola sepak di negara ini menjelang hujung bulan ini atau berdepan penggantungan daripada bola sepak antarabangsa.

Kata dua itu adalah pergolakan terkini yang meletus pada bulan April apabila Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) membekukan liga tertinggi di negara ini kerana tidak bersetuju dengan kementerian sukan sepanjang mengenai penyertaan dua kelab.

Kementerian kemudian membekukan semua aktiviti PSSI dan berkata telah menubuhkan sebuah badan peralihan sebagai satu langkah ke arah menggantikan persatuan itu.

FIFA yang menyokong PSSI menegaskan persatuan itu kekal bertanggungjawab untuk bola sepak di Indonesia memandangkan kerajaan tidak mempunyai kuasa dan setiausaha agung badan dunia itu, Jerome Valcke kini menuntut Jakarta menarik balik keputusannya.

Dalam surat yang dipetik secara meluas oleh media tempatan, Valcke berkata tindakan kerajaan telah melanggar peraturan FIFA yang menyatakan bahawa semua persatuan bola sepak perlu menguruskan hal ehwal mereka secara bebas tanpa pengaruh daripada pihak ketiga.

Jika pihak berkuasa tidak mematuhi permintaan FIFA pada 29 Mei, “kami tidak mempunyai pilihan lain tetapi merujuk perkara ini kepada badan FIFA yang bersesuaian untuk penggantungan serta-merta,” kata surat itu.

PSSI mengesahkan pihaknya sudah menerima surat FIFA pada Isnin dan semalam cuba menyerahkannya kepada menteri sukan, tetapi menteri masih belum menerimanya. Ketua PSSI, La Nyala Mattalitti memberi amaran bahawa pengharaman FIFA bermakna Indonesia tidak dapat menyertai semua pertandingan termasuk Sukan SEA pada bulan Jun dan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Walaupun digantung, PSSI cuba memulakan semula liga tertinggi, Liga Super Indonesia pada akhir April tetapi gagal berbuat demikian selepas pihak polis enggan mengeluarkan permit perlawanan.