FIFA cari jalan selesai kemelut PSSI

FIFA cari jalan selesai kemelut PSSI

JAKARTA, 2 Nov (AFP) – Presiden Indonesia Joko Widodo hari ini mengadakan pertemuan dengan para pegawai Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) di Jakarta bagi mencari jalan sesuai menangani krisis, hampir enam bulan selepas badan induk bola sepak dunia itu menggantung negaranya daripada kejohanan antarabangsa.

Indonesia dikenakan penggantungan pada Mei selepas kerajaan cuba menggantikan persatuan bola sepak negara itu, dikenali sebagai PSSI, ketika kemuncak kemelut yang berpanjangan tersebut.

Kerajaan menegaskan bahawa dengan mengambil tindakan ke atas PSSI, yang sudah lama terbabit dengan dakwaan rasuah dan salah pengurusan, merupakan langkah perlu untuk membersihkan bola sepak Indonesia, yang bertahun-tahun lamanya dicemari dengan krisis.

Joko Widodo (dua kanan) menerima cenderahati daripada Mariano Araneta, ketua suruhanjaya bersama FIFA dan AFC untuk menyiasat krisis bola sepak di Indonesia. Turut kelihatan dalam gambar Naib Presiden AFC, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (kiri). – AFP
Joko Widodo (dua kanan) menerima cenderahati daripada Mariano Araneta, ketua suruhanjaya bersama FIFA dan AFC untuk menyiasat krisis bola sepak di Indonesia. Turut kelihatan dalam gambar Naib Presiden AFC, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (kiri). – AFP

FIFA memberikan respons dengan menggantung PSSI dan mengharamkan Indonesia daripada sebarang kejohanan antarabangsa yang dianjurkan oleh FIFA dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), salah satu dari enam konfederasi serantau yang ditadbir oleh badan induk bola sepak dunia tersebut.

Widodo, yang menjadi hos rundingan dengan FIFA itu di Istana Negara, turut mengumumkan beliau akan menubuhkan pasukan petugas untuk segera menyelesaikan masalah berkenaan.

Kemelut tersebut meletus pada April apabila PSSI, tidak bersetuju dengan Kementerian Sukan negara itu berhubung penyertaan dua kelab, sekali gus menghentikan liga utama Indonesia.

Kementerian Sukan kemudian memberikan respons dengan membekukan semua aktiviti PSSI dan menubuhkan sebuah badan peralihan untuk mula menggantikan persatuan berkenaan.