FIFA digesa haramkan enam kelab Israel

FIFA digesa haramkan enam kelab Israel

RAMALLAH, 11 Okt – Pihak berkuasa Palestin semalam meminta Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) campur tangan membatalkan enam kelab bola sepak Israel yang beroperasi di penempatan Tebing Barat yang diduduki secara haram oleh regim berkenaan.

Jawatankuasa Eksekutif FIFA dijangka mengadakan mesyuarat khas mengenai kes berkenaan Khamis dan Jumaat ini selepas aduan berkenaan diterima secara rasmi.

Dalam surat rasmi kepada Presiden FIFA, Gianni Infantino, Persatuan Bola Sepak Palestin meminta FIFA mengarahkan Persatuan Bola Sepak Israel membatalkan kelab berkenaan atau memaksa mereka pindah ke wilayah Israel seperti termaktub dalam perjanjian mengenai sempadan negara bermusuh itu.

Surat berkenaan juga menegaskan betapa FIFA gagal menguatkuasakan polisnya sendiri khususnya perkara berkaitan dengan ‘tindakan tidak bermoral dan beretika dengan membenarkan persatuan beroperasi di wilayah yang ditakluki yang jelas dilarang oleh undang-undang antarabangsa.

Israel merampas Tebing Barat selepas tamat Perang Enam Hari pada 1967 meskipun tidak direstui oleh masyarakat antarabangsa.

Pihak berkuasa Palestin pula sudah lama membantah penyertaan kelab Israel berkenaan dalam liga Israel membabitkan perlawanan kelab divisyen tiga, empat dan lima liga berkenaan.

Minggu lalu, Infantino  (gambar) memberitahu AFP bahawa isu berkenaan menjadi keutamaannya dan FIFA akan cuba mengecualikan hal politik dalam kes Palestin.

Ketua FIFA itu juga berkata hanya mengutamakan isu sebenar bola sepak sambil mencari jalan penyelesaian terbaik untuk meningkatkan bola sepak di wilayah berkenaan.

Badan hak asasi manusia bulan lalu membidas FIFA dengan mendakwa badan induk bola sepak berkenaan telah mencemar imej baik sukan bola sepak dengan mengizinkan sukan berkenaan dijalankan di tanah yang dirampas secara haram oleh rejim Zionis.

Persatuan Bola Sepak Israel mendakwa isu bola sepak sudah diheret menjadi kes politik, tetapi yakin FIFA akan bertindak sewajarnya untuk membetulkan keadaan rumit berkenaan. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA