FIFA gantung bidaan Piala Dunia 2026

FIFA gantung bidaan Piala Dunia 2026

pg22_150612_c

LAUSANNE, Switzerland, 11 Jun (AFP) – FIFA sudah menyerahkan data komputer kepada polis Switzerland yang menyiasat undian bagi penganjuran Piala Dunia 2018 dan 2022 selain menggantung bidaan untuk edisi 2026.

Tindakan pihak berkuasa itu terus meningkatkan tekanan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang ketika ini menjadi tumpuan dunia atas dakwaan terbabit skandal rasuah.

FIFA berkata, data komputer daripada ibu pejabatnya di Zurich sudah pun diserahkan kepada Pendakwaraya Switzerland.

Pihak berkuasa Switzerland ketika ini sedang menyiasat undian bagi penganjuran Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan selain penganugerahan FIFA terhadap Russia dan Qatar pada edisi 2018 dan 2022.

“FIFA hari ini memberikan, seperti yang dirancang, data yang diminta oleh Peguam Negara,” kata jurucakap FIFA.

Media Britain, BBC mendakwa dokumen itu dirampas daripada pejabat Blatter, Setiausaha Agung FIFA, Jerome Valcke dan Ketua Kewangan badan induk itu, Markus Kattner. Pendakwaraya Switzerland begitupun enggan mendedahkan identiti pihak yang terbabit.

FIFA diselubungi skandal rasuah terbesar dalam sejarah penubuhan persatuan sukan paling berkuasa dunia itu selepas pihak berkuasa Switzerland dan Amerika Syarikat mendakwa beberapa individu penting terbabit rasuah.

Ia membawa kepada penangkapan beberapa pegawai rasmi dan bekas pegawai badan induk itu di sebuah hotel terkemuka di Zurich, bulan lepas.