FIFA gantung Pakistan

ISLAMABAD, 12 Okt – FIFA pada Rabu mengumumkan telah menggantung Persekutuan Bola Sepak Pakistan (PFF) gara-gara ‘campurtangan pihak ketiga’ dalam langkah yang jarang dilakukan oleh badan pentadbir sukan itu yang menyasarkan sebuah negara.

Penggantungan dibuat selepas berlaku pergolakan dalaman di PFF menyebabkan mahkamah melantik pentadbir untuk menjalankan urusannya yang melanggar keperluan FIFA bahawa badan itu diuruskan secara bebas.

“Para wakil dan pasukan kelab PFF tidak lagi berhak untuk mengambil bahagian dalam pertandingan antarabangsa sehinggalah penggantungan itu ditarik balik,” kata FIFA dalam satu kenyataan.

Pegawai kanan PFF Colonel Ahmed Yar Lodhi berkata beliau telah lama mengharapkan larangan itu berikutan campur tangan kerajaan dalam PFF.

“Kami adalah badan yang diiktiraf oleh FIFA tetapi kerajaan campur tangan dalam urusan kami dan tidak membiarkan kami bekerja,” kata Lodhi.

“Keadaan ini tidak dapat diterima oleh FIFA dan mereka kini memutuskan untuk mengenakan larangan ke atas keahlian Pakistan.”

Pada 2015, FIFA menggantung Indonesia selepas kerajaan campur tangan dalam persatuan bola sepak negara itu. Bagaimanapun penggantungan itu ditamatkan pada tahun berikutnya. Pengharaman ke atas Pakistan dibuat selepas India menjadi tuan rumah Piala Dunia B-17.

Pakistan menduduki tempat teratas dalam bola sepak Asia sehingga awal 1970-an tetapi kekurangan sokongan kerajaan dan infrastruktur yang kurang baik menyumbang kepada penurunan mereka serendah 200 dalam ranking bola sepak FIFA ketika ini. – AFP